Tidak kurang 20 etnik Rohingya dilaporkan mati setelah kapal yang mereka naiki hanyut selama berminggu-minggu selepas gagal menuju ke Malaysia, kata seorang pegawai pengawal pantai Bangladesh, sambil menambah 382 mangsa yang kebuluran berjaya diselamatkan.
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, mereka percaya lebih banyak kapal yang membawa etnik Rohingya, kumpulan minoriti Islam dari Myanmar, sedang hanyut di laut. Sekatan perjanan akibat penularan pandemik koronavirus di Malaysia dan Thailand menyukarkan lagi usaha mereka mendapatkan perlindungan.
Pengawal pantai Bangladesh berkata kapal itu dibawa ke pantai pada lewat Rabu.
"Mereka di laut selama kira-kira dua bulan dan kelaparan," kata salah seorang pegawai pantai kepada Reuters.
382 mangsa lain yang terselamat akan dihantar kembali ke Myanmar, kata pegawai itu.
Rakaman video menunjukkan sebilangan besar mereka adalah wanita dan kanak-kanak, ada yang begitu kurus dan tidak mampu berjalan serta terpaksa dibantu untuk ke pantai. Seorang pelarian memberitahu wartawan bahawa mereka telah tiga kali diarahkan pulang oleh Malaysia.
Etnik Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara Myanmar yang majoritinya beragama Buddha dan mendakwa mereka dianiaya. Myanmar menafikan dakwaan menganiaya masyarakat Rohingya tetapi berkata kumpulan itu bukan etnik pribumi tetapi berhijrah dari Asia Selatan.
Terdapat lebih satu juta etnik Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh, majoriti mereka dihalau dari kediaman masing-masing di Myanmar setelah tindakan keras tentera susulan pemberontakan pada tahun 2017.
Selama bertahun-tahun, etnik Rohingya membayar penyeludup yang membawa mereka menaiki kapal dengan harapan dapat mencari perlindungan di Asia Tenggara. Pelayaran biasanya dijalankan pada musim kering, antara November dan Mac, ketika laut tenang.
- Reuters