Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek buluh: Akhirnya Khairuddin sedar - Teresa
Diterbitkan:  Apr 16, 2020 9:58 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Bekas menteri industri utama Teresa Kok melahirkan rasa gembira apabila kerajaan meneruskan dasar hala tuju penanaman buluh meskipun Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali pernah mengkritiknya ketika ia mula diperkenalkan.

“Saya gembira kerana Khairuddin meneruskan dasar dan hala tuju penanaman buluh yang diperjuangkan oleh saya dan Lembaga Industri Kayu Malaysia (MTIB) tahun lepas.

"Saya percaya menteri baru telah menyedari bahawa kenyataanya yang membidas cadangan saya pada tahun lepas (3 Mac 2019) agak kurang cerdik kerana beliau tidak mendapat gambaran yang jelas berkenaan cadangan penanaman buluh secara besar-besaran," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Teresa juga mendakwa tulisan bertajuk “Lupakan kelapa sawit, tanam buluh” di Utusan Malaysia (kini tidak lagi beroperasi) telah diputar belit.

 Beliau berkata Khairuddin mungkin tidak tahu berkaitan perkara itu.

Pada 3 Mac 2019, Khairuddin di Facebooknya mempersoalkan idea penanaman buluh secara besar-besaran yang dikemukakan Teresa.

Idea lain yang “masuk akal” dari seorang menteri, selain daripada menoreh getah semasa musim hujan. Tanam buluh dan kelapa untuk menggantikan kelapa sawit.

Khairuddin yang ketika itu pembangkang menyifatkan cadangan penanaman buluh adalah untuk menyorok kelemahan ekoran kegagalan menangani kejatuhan harga minyak sawit.

"Mereka berusaha menyembunyikan kegagalan mereka dalam mengelola harga pasar minyak sawit hingga harganya turun begitu banyak dengan mengemukakan idea baru, yang mereka anggap 'masuk akal'," tulis Khairuddin.

 Semalam, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program game changer dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Khairuddin dalam satu kenyataan media berkata saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018.

Bagaimanapun, katanya, sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.

"Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Teresa berkata beliau sedia membantu Khairuddin ataupun kerajaan bagi memberi nasihat dan pendapat berhubung industri penanaman buluh.

"Sekiranya Khairuddin ingin mendapat pandangan dan cadangan saya tentang pelaksanaan penanaman buluh ataupun isu-isu lain di bawah kementeriannya, saya akan sudi membantu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS