Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus memanfaatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memulakan operasi mereka melalui telekomunikasi dan tumpuan kepada digitalisasi.

Pandemik Covid-19 dan PKP merupakan perubahan percaturan dalam mengubah landskap konvensional tentang bagaimana kita menjalankan perniagaan ke arah landskap masa depan yang “jarak jauh” (remote) akan menjadi tema utama.

Telekomunikasi digital satu-satunya cara untuk PKS

Memandangkan semua perniagaan kurang penting perlu menghentikan operasi mereka semasa PKP, penggunaan teknologi digital melalui telekomunikasi adalah satu-satunya cara untuk mereka terus menjalankan perniagaan, terutamanya bagi PKS kerana mereka masih dapat beroperasi semasa PKP, jika tidak, kemungkinan PKS ini akan terpaksa menutup perniagaan mereka sepenuhnya.

Dalam erti kata lain, ia juga merupakan salah satu alternatif untuk mencegah pengangguran di negara ini kerana sesetengah PKS tidak dapat mengekalkan kakitangan mereka akibat pendapatan sifar semasa PKP.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), antara kesan negatif penutupan perniagaan adalah kehilangan kepakaran berorganisasi dan penamatan projek-projek jangka panjang yang akan mendatangkan hasil lumayan.

Telekomunikasi ditakrifkan sebagai amalan bekerja dari rumah sambil berinteraksi dengan pejabat melalui telefon atau e-mel menggunakan Internet.

Ia bermakna penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi untuk menggantikan perjalanan berkaitan dengan kerja. Ia juga membolehkan pekerja atau pemilik perniagaan bekerja dari rumah dengan menggunakan peranti komunikasi dari lokasi untuk melaksanakan tugas kerja.

Sebelum kemunculan pandemik Covid-19, teknik ini sering menjadi pilihan di negara-negara lain seperti Eropah, dan amalan ini juga kebiasaannya digunakan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Berdasarkan Replicon, sebuah syarikat perisian yang menyediakan aplikasi
penjejakan masa secara awan (cloud time tracking), telekomunikasi telah menjadi satu perkara biasa di semua saiz perniagaan dan industri.

Statistik kerajaan persekutuan Amerika Syarikat telah menunjukkan bahawa 47 peratus pekerjanya boleh bekerja dari jauh dan luar kawasan, dan ini telah digambarkan sebagai "program perubahan organisasi strategik" untuk agensi-agensi kerajaan.

Kelebihan program telekomunikasi adalah meluas dan menurut Persatuan dan Majlis Telekomunikasi Antarabangsa, telekomunikasi telah menghasilkan peningkatan sebanyak 22 peratus dalam produktiviti pekerja, penurunan 20 peratus dalam perolehan pekerja dan penurunan 60 peratus dalam ketidakhadiran pekerja.

Pekerja menjadi lebih produktif kerana sumber-sumber yang betul dan jadual fleksibel akan membenarkan mereka bekerja di mana-mana, tanpa gangguan pejabat.

Di samping itu, ia juga akan mengurangkan kos hartanah dan kos pekerja kerana perbelanjaan tempat letak kereta dapat dikurangkan di mana ia akan mengurangkan bebanan syarikat serta pekerja juga boleh berjimat dengan kos sara hidup peribadi mereka seperti makanan dan pengangkutan.

Ia juga akan membolehkan kelangsungan perniagaan kerana Persatuan dan Majlis Telekomunikasi Antarabangsa bersetuju dalam kes pandemik atau beberapa krisis lain, telekomunikasi akan menjadi komponen utama pelan kelangsungan perniagaan.

Tetapi bagaimanakah impak digitalisasi kepada PKS?

Digitalisasi telah menjadi sebahagian Bajet 2020, dan ia akan mempunyai beberapa kesan menguntungkan bagi PKS yang telah menyumbang 66.2 peratus dalam pekerjaan dan sumbangan sebanyak 38.3 peratus kepada KDNK pada 2018.

Bagi menyokong hal ini, banyak kajian telah mengiktiraf dan mengenal pasti peranan utama yang dapat dimainkan oleh teknologi digital dalam menambah baik landskap perniagaan.

Ini kerana ramai pakar percaya ia akan menjana peluang yang belum pernah terjadi sebelum ini, dalam meningkatkan produktiviti, pekerjaan dan memacu inovasi dalam pelbagai perkembangan teknologi seperti Broadband Mudah Alih, Pengkomputeran Awan, Analisis Data Besar dan Internet-untuk-Segalanya (IoT).

Ia juga boleh mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dan membuka peluang perniagaan baru dalam pelbagai industri.

Sebagai contoh, di Singapura, ekoran wabak Covid-19, banyak perniagaan telah melihat sendiri manfaat yang diraih hasil peningkatan digitalisasi, menurut pemerhatian Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, S. Iswaran.

Namun, kita perlu mengambil kira telekomunikasi dan digitalisasi juga mempunyai batasan.

Pertama, ia memerlukan pelaburan besar dalam perundingan dan teknologi. Tetapi batasan ini telah diatasi memandangkan Kementerian Kewangan telah menyediakan geran bagi PKS untuk melaksanakannya seperti Inisiatif Digitalisasi PKS oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Oleh itu, ianya penting bagi PKS untuk tidak berasa takut untuk melabur dalam telekomunikasi dan digitalisasi kerana semasa PKP, ia menjadi satu-satunya pilihan untuk menyelamatkan mereka dalam krisis ini.

Fasa seterusnya merangkumi proses dalaman seperti kerja fleksibel dan formula penyatuan, akses maklumat, keterbukaan dan mempromosi inovasi. Model perniagaan juga diperlukan di mana ia melibatkan bagaimana maklumat digunakan oleh PKS, proses yang membolehkan data diproses dan digunakan secara boleh dipercayai dan berterusan.

Digitalisasi harus dipertimbangkan oleh para peniaga, terutama PKS, sebagai langkah ke hadapan dalam memerangi wabak ini dan juga untuk mempersiapkan PKS bagi fasa pertumbuhan digital yang berikutnya dalam ekonomi Malaysia. Ia juga penting sebagai strategi penakatan untuk memulakan semula ekonomi negara.


FARHAN KAMARULZAMAN merupakan Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS