Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
JKNNS nafi 8,000 penduduk Sendayan perlu jalani saringan Covid-19

Dakwaan kononnya 8,000 penduduk di lebih 20 taman sekitar Sendayan diarahkan menjalani saringan kesihatan seperti dimuat naik melalui akaun Twitter SMFauzi (@FauziSuhaimi), hari ini, adalah tidak tepat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) Datin Dr Harlina Abdul Rashid menegaskan bahawa hanya mereka yang telah diarahkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban sahaja yang perlu hadir menjalani saringan ujian COVID-19.

“Bagi yang tidak mendapat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, mereka tidak perlu hadir.

“Sehubungan dengan itu, JKNNS ingin menasihati para pengamal media untuk melaporkan berita yang sahih yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana berita yang tidak tepat akan menimbulkan keadaan panik dalam kalangan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Dr Harlina berkata Pejabat Kesihatan Daerah Seremban telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan beberapa siri aktiviti saringan dalam kalangan kontak rapat pesakit COVID-19 di Bandar Sri Sendayan.

“Di samping itu, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban juga telah membuat proses nyahkuman di beberapa buah lokasi yang telah dikenal pasti di Bandar Sri Sendayan sejak semalam dan hari ini dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Bandaraya Seremban serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“JKNNS juga ingin menyeru penduduk setempat supaya tidak menyebarkan berita palsu dan sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya untuk mendapatkan maklumat sahih dan bagi sebarang pertanyaan mengenai COVID-19, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan melalui talian 06-7664940.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya mengesan satu kluster baharu penularan COVID-19 di Sendayan, Negeri Sembilan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS