Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf Wajdi persoal keputusan Azmin
Diterbitkan:  Apr 15, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Duduki tampil mempersoalkan kewajaran Menteri Kanan Azmin Ali mengumumkan kebenaran tiga sektor ekonomi beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berlangsung.

Beliau turut mempersoalkan sama ada benar atau tidak kebenaran itu akan memanfaatkan dua juta pekerja rakyat tempatan sedangkan sektor pembinaan dipelopori oleh pekerja asing.

"Apakah wajar menteri kanan (Azmin Ali) mengisytiharkan kebenaran tiga sektor ekonomi untuk kembali beroperasi di kala negara masih bergelut memastikan rantaian wabak Covid-19 diputuskan melalui PKP fasa 3 ini?

"Apakah benar dakwaan memanfaatkan dua juta pekerja rakyat tempatan, sedangkan semua maklum sektor pembinaan sahaja majoritinya pekerja asing?" soalnya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

 Asyraf turut melampirkan kenyataan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) yang memaklumkan kerajaan membenarkan sektor ekonomi yang kritikal terus beroperasi demi menjamin pekerjaan rakyat dan kelangsungan ekonomi.

Langkah ini menyelamat dua juta pekerjaan daripada tiga sektor terpenting.

Azmin dalam satu hantaran di Facebook semalam memaklumkan tiga sektor tersebut terdiri daripada pembinaan dan industri berkaitan, elektrikal dan kejuruteraan serta industri mesin dan peralatan.

"Syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi harus memastikan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM (kementerian kesihatan Malaysia) dipenuhi dan mempraktiskan norma baharu supaya penularan wabak dapat dibendung," katanya.

Sementara itu Asyraf menegaskan pihaknya berharap Azmin sudah mendapat pandangan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkait kebenaran tersebut.

"Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu Covid-19 sebanyak 334 kelmarin sahaja dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing!

"Harap menteri kanan sudah mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenainya bukan sekadar mengejar keberuntungan sementara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS