Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan, agar bazar Ramadan secara pandu lalu tidak dilaksanakan di negeri ini, berikutan penularan wabak Covid-19.
Titah baginda, pasukan barisan hadapan negara ketika ini sedang berjuang habis-habisan bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
“Saya khuatir jika dilaksanakan bazar Ramadan secara pandu lalu, maka akan timbul isu kesesakan jalan raya sehingga menambahkan lagi beban (tugas) anggota penguatkuasa.
"Malah kemungkinan berlaku risiko kontak rapat dan sekiranya timbul kluster baharu, bagaimana kita hendak mengawal virus ini,” titah baginda yang dimuat naik di Facebook rasmi baginda, hari ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah agar rakyat di negeri ini terus sabar dan tabah dalam menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.
"Sabar itu separuh daripada iman. Tolonglah bersabar dan jangan ingkar perintah PKP. Pastikan anda hanya keluar jika ada sebab yang munasabah.
"Saya sendiri juga berkurung dan tidak ke mana-mana, jadi saya amat memahami rasa kurang senang berikutan tidak dapat menjalani rutin harian seperti biasa," titahnya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima kunjungan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani.
- Bernama