Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KORONAVIRUS | Umat Islam di Pulau Pinang digalakkan membuat pembayaran zakat fitrah secara dalam talian pada susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali, berkata kaedah pembayaran dalam talian akan dilakukan melalui aplikasi Snap N Pay, JomPay dan beberapa kaedah digital yang akan diumumkan menjelang Ramadan nanti.

“Kaedah bayaran konvensional tetap diteruskan bagi mereka yang tidak mempunyai akses atau tidak mahir dalam teknologi, namun caranya akan dimaklumkan kemudian berdasarkan perkembangan situasi semasa Covid-19.

“Prosedur operasi standard (SOP) khas kepada amil-amil kariah yang dilantik akan dikeluarkan bagi mematuhi segala arahan pihak berwajib dengan mengutamakan penjarakan sosial,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah agar semua aktiviti di masjid, surau dan musolla di Johor ditangguhkan lagi, sesuai dengan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 28 April ini.

Penangguhan itu termasuklah aktiviti solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu, solat tarawih, dan apa jua aktiviti lain.

Sementara itu, Amran turut berkata jika masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan memungut zakat fitrah, para amil kariah dinasihatkan untuk mewujudkan kaunter sementara di balai raya atau dewan orang ramai.

“Kaunter pandu lalu akan diwujudkan oleh pihak masjid dengan mengikut jadual dan lokasi yang sesuai.

“SOP pembayaran zakat tahun ini, ZPP tidak mengalakkan bersalaman sebagaimana yang dilakukan sebelum ini dan cukup sekadar serah wang, akad, dan menunggu resit atau kupon daripada amil,” jelasnya.

Ia bagi mematuhi arahan penjarakan sosial satu meter dalam berurusan.

PKP sudah memasuki fasa ketiga, dan dijangka tamat 28 April ini, bersamaan 5 Ramadan 1441, hari kelima umat Islam menjalani ibadah berpuasa yang akan bermula pada minggu hadapan.

Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini setakat 12 tengah hari semalam adalah 4,987 kes dengan 82 kematian secara keseluruhan.

Bagaimanapun, keadaan Covid-19 di Malaysia merekodkan perkembangan baik apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad mencapai jumlah kumulatif 2,478 orang, iaitu 49.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS