Paling Popular
Terkini

Pengasas My Events International, Shahul Hameed Dawood, dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), kata beberapa sumber.

Malaysiakini difahamkan, pelantikan Shahul Hameed itu akan berkuat kuasa minggu depan. Beliau akan menggantikan Elanjelian Venugopal yang diketepikan daripada jawatan CEO badan itu oleh Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, bulan lalu.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Shahul Hameed enggan memberikan sekarang komen dan menegaskan sebarang pengumuman rasmi mengenai pelantikannya mesti dibuat oleh lembaga pengarah HRDF terlebih dulu.

Pada masa sama beberapa kumpulan serta individu - termasuk Persatuan Dewan Perdagangan dan Industri India - sejak semalam menyampaikan ucapan tahniah kepada Shahul Hameed.

Bagaimanapun sesetengah pihak menyatakan My Events International pernah terbabit menguruskan beberapa penganjuran majlis berprofil tinggi termasuk siri ceramah menampilkan Dr Zakir Naik pada 2016.

Ketika itu, Shahul Hameed dikatakan terlibat dengan pihak berkuasa - termasuk ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar - yang menyaksikan penampilan Zakir sebagai penceramah di Melaka.

Menggambarkan Shahul Hameed sebagai pengikut Zakir, pengkritik mempersoalkan tindakan Saravanan melantik beliau mengisi jawatan CEO HRDF.

Untuk rekod, Saravanan merupakan timbalan presiden MIC dan parti itu secara konsisten membantah kehadiran Zakir - yang dikehendaki pihak berkuasa India - di Malaysia.

Pada 1 April lalu portal Malay Mail melaporkan, Elanjelian - bersama pengerusi HRDF, Noor Farida Ariffin, dan empat anggota lembaga badan itu - ditamatkan kontrak perkhidmatan mereka oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tempoh perkhidmatan Elanjelian dikatakan sepatutnya tamat pada Julai tahun ini, manakala Noor Farida hanya akan berakhir pada Januari 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS