Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mencari filsuf untuk merungkai tanda tanya Covid-19

KATA MP | Jika kita belajar politik, sedikit sebanyak kita akan kenal beberapa ideologi dalam spektrum politik dunia. Kita akan kenal kapitalisme, sosialisme, komunisme, nasionalisme, fasisme, feudalisme, ideologi hijau (atau Green) misalnya.

Laporan media pada 14 April 2020 menyatakan tempat-tempat pembuangan sampah mencatatkan penurunan kadar kutipan sampah-sarap semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Wabak penyakit Covid-19 berpunca daripada sejenis virus bernama novel Koronavirus.

Selangor mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang tertinggi di Malaysia dan pada masa sama mencatatkan 80 peratus penurunan kadar pembuangan sampah-sarap.

Kurangnya pembuangaan sampah menjadikan alam sekitar semakin bersih dan sungai-sungai yang membekalkan air minuman tidak lagi tercemar.

Ideologi Green ialah sejenis fahaman yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar. Adakah Koronavirus ini menyokong ideologi Green?

Di seluruh dunia - dan Malaysia tidak terkecuali - berlaku ketidakadilan sosial dalam bidang ekonomi. Jurang kaya-miskin semakin melebar. Yang kaya semakin kaya; yang miskin kian papa kedana.

Di Malaysia sahaja sekitar 50 orang bilionair menguasai harta kekayaan yang beratus bilion ringgit jumlahnya, malah melebihi rezab negara yang dijaga oleh Bank Negara.

Rakyat gembira, bersyukur

Ada juga lebih 75 peratus rakyat pelbagai kaum hidup di bawah garis pendapatan B40. Simpanan mereka untuk menghadapi PKP tidak mencukupi pun untuk tempoh sebulan. Mereka adakah rakyat kita yang susah, miskin dan daif.

Perikatan Nasional (PN) - yang belum lagi ditauliahkan keabsahannya oleh parlimen - bertindak menjadi sebuah kerajaan baik yang berkebajikan (welfare-state) macam kerajaan sosialis.

Bantuan Prihatian Nasional (BPN) diperkenalkan. Semua rakyat kategori B40 berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan dan golongan M40 (berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000) dibantu dengan wang, tidak perlu bekerja, duduk diam-diam di rumah sahaja semasa PKP.

Tiada siapa yang tercicir.

Walaupun bayaran itu sekali sahaja (one-off), tetapi rakyat gembira dan bersyukur.

Rakyat berbilang kaum dan berbilang agama yang mengaku diri mereka warga Malaysia, kini sayang kepada Muhyiddin Yassin yang dianggap prihatin kepada rakyat miskin dan lemah.

Sistem politik atau ideologi yang mengutamakan kebajikan rakyat miskin dan lemah ialah sistem sosialis. Adakah koronavirus ini menyokong sosialisme?

Di mana-mana sekarang di seluruh Malaysia, rakyat separa terkurung di bawah PKP. Ada juga yang betul-betul terkurung seperti di Simpang Renggam di Johor, Hulu Langat di Selangor dan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Rakyat di seluruh negara berasa pergerakan mereka tersekat. Polis dan tentera berkawal di jalan-jalan raya. Dasar diperkenalkan supaya rakyat duduk saja di rumah dan jangan bergerak ke sana ke sini.

Mula-mula diberikan peringatan, kemudian semakin tegas dan akhirnya jadi tindakan keras. Ramai yang ditahan dan diheret ke mahkamah. Tetapi penjara sudah penuh. Kerajaan pun serba salah.

Sistem ideologi fasis - atau fasisme - seperti zaman Nazi dan Hitler dulu yang suka menyekat pergerakan rakyat. Tetapi rakyat Malaysia faham. Kerajaan PN yang ada sekarang bukan kerajaan fasis. Ia kerajaan ikut undang-undang dan perlembagaan negara.

Sama ada ia mengikut amalan demokrasi atau tidak, itu lain cerita.

Tak boleh ke masjid, gereja

Kerajaan buat ini semua untuk kebaikan rakyat juga supaya penyakit Covid-19 ini tidak merebak luas. Jaringan Covid-19 ini mesti diputuskan. Jadi diperkenalkan dasar "stay at home". Duduk diam-diam. Jika haus, boleh minum air suam.

Dalam pada itu, kerajaan PN beruntung juga kerana undang-undang draconian Akta Majlis Keselamatan Negara" masih berkuat kuasa. Kerajaan PH tak sempat untuk meminda atau menghapuskannya.

Isu di sini ialah, adakah virus Korona ini menyokong ideologi fasisme? Suka lihat negara dikuasai polis dan tentera?

Malaysia belum sampai menjadi negara polis (police state) yang dikuasai oleh polis dan tentera. Parlimen masih ada, tidak bubar dan tidak mati. Cuma ia ditangguh sahaja. Pada 18 Mei ini Parlimen jadual akan bersidang kembali.

Malaysia tidak dalam keadaan darurat.

Di Rusia - dan di Soviet Union pada zaman komunis di bawah Stalin atau sebelumnya, Lenin - masjid dan gereja diarah tutup. Begitu juga pada zaman Revolusi Kebudayaan di bawah kerajaan komunis China pimpinan Mao.

Masjid-masjid ditutup. Gereja-gereja pun ditutup. Orang Islam tak boleh ke masjid, manakala orang Kristian dilarang ke Gereja.

Malaysia bukan negara komunis. Malaysia ini sebuah negara Islam. Islam adalah agama rasmi seperti tercatat dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Waktu PKP di Malaysia - selain masjid dan gereja - kuil-kuil Hindu, kuil-kuil Budha, berhala dan tokong, semuanya dilarang mengadakan upacara keagamaan beramai-ramai.

Jadi Covid-19 ini nampaknya macam menyokong ideologi komunis ortodoks Stalin dan Mao yang menutup masjid dan gereja. Orang Islam di negara ini sudah empat minggu tidak dapat mengadakan solat Jumaat. Orang Kristian pula tidak dapat menyambut Good Friday di gereja mereka.

Tertutup dan beku

Apakah kerajaan PN yang memerintah sekarang bersalah dalam hal ini? Jawapannya: tidak. Kerajaan sekarang tidak boleh disalahkan. Kerajaan bertindak dengan niat baik atau bona fide.

Langkah larangan tersebut ialah untuk kebaikan rakyat, masyarakat dan negara keseluruhannya. Tiada pilihan lain. Wabak Covid-19 ini perlu dibasmi dan dikalahkan.

Rakyat di Malaysia dan di dunia perlu menang dalam 'Perang Dunia Ketiga' ini. Kita berperang dengan musuh yang kita tidak nampak.

Virus Covid-19 ini juga antikapitalis. Lihat sistem kapitalis dunia hampir runtuh dibuatnya. Kilang-kilang ditutup. Semua kegiatan pengeluaran dan perkhidmatan terhenti sama sekali.

Pasaran saham runtuh di seluruh dunia. AS sebuah negara ekonomi kapitalis nombor satu di dunia. China pula sebuah negara komunis yang mengamalkan dasar ekonomi kapitalis, menjadi kuasa ekonomi dunia nombor dua.

Kedua-dua negara itu terlibat dalam perang perdagangan yang mengancam dunia. Sekarang kedua-dua kuasa ekonomi dunia ini tutup dan beku. Tidak beroperasi angkara koronavirus. 

Jerman, Perancis, Britain, Itali dan Sepanyol - negara-negara kapitalis besar di Eropah - juga lumpuh diserang oleh virus halus itu.

Apakah yang umat manusia dapat pelajari daripada pengalaman hidup mati diancam koronavirus ini?

Di manakah Socrates, Plato dan Aristotle zaman moden untuk menjawab soalan ini?


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen PKR dan Pakatan Harapan Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS