Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jurang digital bandar, luar bandar cabaran pembelajaran di rumah

Jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar menjadi antara cabaran dalam proses pembelajaran di rumah, kata Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Menurut presidennya Prof Mohamad Ali Hassan, tahap kesediaan pelajar dan guru dalam menghadapi pembelajaran di rumah ini mempunyai pelbagai peringkat yang terdiri daripada memang bersedia, masih keliru dan belum bersedia langsung, terutamanya dari segi ketiadaan akses, infra, prasarana atau peralatan.

“Khususnya di pedalaman dan luar bandar serta pinggir bandar seperti jurang akses atau akses ICT (teknologi maklumat dan komunikasi).

“Masih ada jurang antara komuniti bandar dan luar bandar.

“Cabaran yang dihadapi ialah kesiapsagaan guru-guru dan pelajar terhadap kaedah P&P (pengajaran dan pembelajaran) di rumah.

“Ada yang barang kali belum pernah melakukannya, ada yang tiada dapat membantu atau membimbing permulaan pengajarannya, juga masalah kecukupan dan kesediaan prasarana atau infra serta perkakasan yang diperlukan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menggesa kerajaan menyediakan pelan bagi membantu pelajar mengikuti pembelajaran dari rumah.

Teo berkata, amalan pendidikan dari rumah akan menjadi kelaziman baru tetapi kerajaan perlu memahami tidak semua pelajar mempunyai akses kepada platform digital.

Bagi menangani masalah akses ke internet, Mohammad Ali mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bekerjasama dengan kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan usaha pelaksanaan tersebut.

Sebulan sekolah ditutup

Antara lain merupakan cadangan supaya mewujudkan kumpulan pakar e-learning (e-pembelajaran) diperkasakan untuk pelaksanaan ke seluruh negara dan memastikan akses, kandungan mata pelajaran bersesuaian, tidak membebankan, serta menyediakan pemantauan dan penilaian yang berkesan.

Beliau juga mencadangkan supaya terdapat maklum balas daripada kalangan ibu bapa, penjaga dan guru supaya proses pembelajaran dari rumah menjadi lebih berkesan.

“Satu kaedah pemantauan dan penilaian keberkesanan pembelajaran dari rumah hendaklah dibangunkan untuk setiap peringkat pembelajaran agar pelajar dan guru berdisiplin, serta seronok memanfaatkannya,” katanya.

Selain Teo, Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman turut membangkitkan isu yang sama dengan merayu supaya syarikat telekomunikasi memberi akses tanpa had sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini sebagai kepada semua pelanggan perkhidmatan mereka yang berada di bandar dan luar bandar.

Baru-baru ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan pelanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berkata, semua sekolah akan terus ditutup sehinggalah ancaman Covid-19 dapat diatasi sepenuhnya.

Untuk rekod, sejurus sebelum PKP dilaksanakan, sesi persekolahan di negara ini memasuki awal cuti penggal pertama. Sejak itu, sekolah terus ditutup dan kini genap sebulan pelajar di negara ini tidak bersekolah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS