Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
119,168 terkorban, 1.88 juta jangkitan - rangkuman krisis Covid-19 setakat ini

GLOBAL | Lebih 1.88 juta orang dilaporkan telah dijangkiti wabak Covid-19 di seluruh dunia, dengan 119,168 orang telah terkorban, menurut kiraan Reuters setakat jam 0200 GMT (10 pagi waktu tempatan) hari ini.

Amerika

  • Di Amerika Syarikat (AS), jumlah kes yang disahkan meningkat kepada lebih 584,000, dengan korban lebih 23,500, menurut kiraan Reuters.
  • 10 gabenor AS memeterai dua persetujuan dalam koordinasi pembukaan semula ekonomi secara berperingkat, susulan krisis koronavirus yang tampak kian surut.
  • Wyoming melaporkan kematian pertama Covid-19 pada Isnin, negeri terakhir di AS yang mencatat kematian akibat wabak tersebut.
  • Jabatan Pertanian AS akan membelanjakan sehingga AS$15.5 bilion dalam fasal awal rancangannya untuk memperkukuh rantaian bekalan makanan negara itu ekoran impak wabak.
  • Brazil mungkin mempunyai jumlah kes 12 kali ganda lebih banyak berbanding laporan rasmi kerajaan, dengan jumlah ujian yang sedikit dan masa yang lama untuk menunggu keputusannya, menurut satu kajian.
  • Panama merekodkan 72 kes baru pada Isnin, menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 3,472 dengan 94 kematian.
  • Mexico merekodkan 353 kes baru pada Isnin, menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 5,014 dengan 332 kematian.

Eropah

  • Angka kematian akibat Covid-19 di hospital di Britain meningkat kepada 11,329. Kerajaan yang perlu meneruskan pentadbiran tanpa pemimpinnya Boris Johnson yang sedang menjalani rawatan, membayangkan kemungkinan pelonggaran perintah berkurung pada minggu ini.
  • Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan beliau akan melanjutkkan perintah berkurung bagi membendung penularan Covid-19 sehingga 11 Mei, dengan menambah bahawa terdapat kemajuan tetapi perlawanan itu belum selesai.
  • Presiden Rusia Vladimir Putin berkata negara itu mungkin perlu mengerahkan tentera untuk membantu menangani krisis itu, dan memberi amaran jangkitan kian memburuk selepas bilangan kes meningkat dengan kes harian mencatat bilangan tertinggi.
  • Turki akan menguatkuasakan perintah berkurung baru hujung minggu depan, sebagai sebahagian daripada langkah mengekang penularan virus, kata presidennya Tayyip Erdogan, 48 jam selepas perintah berkurung di 31 wilayah berakhir semalam.

Asia dan Pasifik

  • China melaporkan 89 kes baru pada 13 April, kurang berbanding 108 kes pada hari sebelumnya. Jumlah keseluruhan kes di China kini sebanyak 82,249, dengan 3,341 kematian.
  • China meluluskan ujian peringkat awal terhadap manusia untuk dua vaksin eksperimental bagi melawan Covid-19, menurut agensi berita Xinhua.
  • India dan Pakistan merancang untuk membuka semula sebahagian ekonominya bagi mengurangkan kos langkah sekatan yang dikenakan untuk membendung penularan wabak itu, kata pegawai dua negara tersebut.
  • Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan 386 lagi jangkitan Covid-19 pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 2,918.
  • Pegawai Australia sedang menyiasat jika himpunan sosial yang dibuat oleh kakitangan kesihatan yang tidak mendapat kelulusan merupakan punca peningkatan kes di Tasmania.
  • Selasa lalu, India melanjutkan perintah berkurung seluruh negara sehingga 3 Mei, apabilajumlah kes melepasi angka 10,000 walaupun dengan perintah berkurung selama tiga minggu.

Asia Barat dan Afrika

  • Angka korban di Iran meingkat kepada 4,585, dengan 111 kematian terbaru semalam, kata seorang pegawai kementerian kesihatan. Dia berkata jumlah jangkitan kini telah mencapai 73,303 kes.
  • Sudan akan menguatkuasakan perintah berkurung di ibu kotanya, Khartoum, selama tiga minggu selepas 10 lagi kes Covid-19 dilaporkan pada Isnin, kata menteri penerangan negara itu.
  • Nigeria akan melanjutkan perintah berkurung di Lagos, Abuja dan Ogun semalam 14 hari lagi, kata presidennya Muhammadu Buhari dalam ucapan yang antara lain mengakui pengorbanan yang dibuat oleh golongan miskin negara itu.

Kemerosotan ekonomi

  • Pasaran saham Asia meningkat susulan harapan penularan Covid-19 mungkin telah mencapai kemuncak, walau dengan sentimen yang berwaspada dengan kebimbangan pelabur terhadap kemelesetan global.
  • Kemerosotan ekonomi yang menjunam dan perbelanjaan besar susulan Covid-19 akan menjadikan angka defisit belanjawan AS pada tahun ini meningkat empat kali ganda, kepada AS$3.8 trilion atau 18.7 peratus daripada pengeluaran ekonomi negara itu, kata badan pemantau di Washington.
  • Kadar inflasi Argentina dijangka meningkat tiga peratus pada Mac, menurut tinjauan penganalisis yang dilakukan Reuters. Angka itu meningkat berbanding bulan sebelumnya, walaupun kerajaan telah cuba untuk mengekalkan harga barang pengguna ketika wabak Covid-19 dan perintah berkurung seluruh negara yang disebabkannya.
  • Inflasi runcit India menurun ke tahap terendah dalam masa empat bulan pada Mac, meningkatkan kemungkinan bank pusat negara itu akan terus mengurangkan kadar faedah dalam usaha untuk menggalakkan kegiatan ekonomi yang terjejas akibat wabak.
  • Ekonomi Brazil akan mengecut sebanyak lima peratus tahun ini, akibat impak ekonomi langsung dan tidak langsung Covid-19, menurut Bank Dunia. Ia menandakan kemelesetan terbesar negara itu dalam masa kira-kira separuh abad ini.
  • IMF berkata akan memberikan relif hutang segera kepada 25 negara anggota di bawah Catastrophe Containment and Relief Trust bagi membenarkan mereka lebih fokus terhadap sumber kewangan bagi melawan Covid-19.
  • Beberapa syarikat penerbangan AS hampir menerima terma tawaran bantuan bayaran gaji kerajaan berjumlah AS$25 bilion, dengan pengumuman mungkin dibuat seawal Selasa, menurut pihak yang diberi penerangan tentang perkara itu.

-Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS