Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ESEI FOTO | Para kakitangan barisan depan, tanpa mengira jantina dan tugas, mendedahkan kesihatan mereka terhadap risiko dalam 'perang' terhadap pandemik Covid-19.

Setakat semalam, wabak itu telah meragut 76 nyawa di Malaysia, dan hampir 120,000 nyawa di seluruh dunia.

Dalam mengesan dan merawat pesakit Covid-19, dan pada masa sama melindungi diri mereka, petugas barisan depan bergantung kepada sejumlah peralatan penting.

Topeng muka, perisai muka, sarung tangan dan sut Tyvek menjadi keperluan bagi kalangan yang terlibat dalam rawatan pesakit dan pembersihan zon merah.

Tanpa alat-alat perlindungan ini, petugas barisan depan berisiko mendapat jangkitan daripada virus yang sedang dibendung mereka.

Berikut adalah peralatan yang digunakan:

Perisai muka

Kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) yang melindungi seluruh muka pemakai daripada bahaya, misalnya serpihan di persekitaran dan bahan kimia. Dalam membendung Covid-19, ia membantu menghalang virus daripada memasuki badan melalui hidung, mata atau mulut.

Respirator separuh muka

Ia memberikan perlindungan memadai ketika tugas-tugas industri. Respirator separuh muka biasanya digunakan dalam persekitaran di mana bahan tercemar tidak bersifat toksik terhadap muka atau mata.

Termometer digital

Memiliki perintang dan mekanisme pengkomputeran ringkas. Perubahan pada suhu dikesan melalui perubahan pada rintangan.

Pengesat nasofaringeal

Pengesat nasofaringeal adalah kaedah untuk mengumpul sampel ujian rembesan dari dalam hidung dan kerongkong. Sampel kemudian dianalisa untuk melihat kewujudan organisma atau tanda-tanda klinikal lain penyakit.

Sut Tyvek

Digunakan dalam pelbagai pekerjaan, daripada pembinaan kepada pembersihan sisa. Ia merupakan pakaian perlindungan yang serba guna - memberikan perlindungan seperti perisai tetapi pada masa sama tidak menghalang pergerakan.

Pelindung mata keselamatan

Satu bentuk perlindungan mata dan kawasan sekitarnya daripada partikel, air atau bahan kimia.

Topeng muka P95

Kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) yang menghalang pemakai daripada menyedut aerosol (habuk, asap) serta wap atau gas (bahan nyahjangkitan, gas anestetik) yang membahayakan kesihatan.

Sarung tangan

Sarung tangan jenis ini berperanan penting untuk melindungi pemakai daripada bahan kimia yang digunakan dalam rawatan radiasi, kemoterapi dan lain-lain.

Sanitasi tangan

Gel atau cecair yang biasanya digunakan untuk mengurangkan agen jangkitan di tangan. Boleh didapati dalam bentuk cecair, gel dan buih.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS