Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata dia tidak tahu perlu memotong reben ketika menerima jemputan Majlis Daerah Macang untuk merasmikan sebuah program.

Mohamed Fadzli yang juga Adun Temangan dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan ulasan selepas gambarnya merasmikan program berkenaan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tular dan mendapat kritikan pengguna media sosial.

“Itu saya diminta untuk merasmikan program 'Ruang Nyah Kuman Khas' di Pasar Besar Machang oleh Majlis Daerah Machang dan ia adalah alat pertama digunakan dan saya juga wakil rakyat di sana.

“Saya juga tidak tahu awalnya ada potong reben. Perasmian biasalah kalau ada (acara potong reben).

“Cuma bila majlis itu ramai biasalah kita penjarakan sosial tak dapat buat sedikit sebab orang juga dah mula dekat-dekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

 Gambar Mohamed Fadzli yang memotong reben semalam bersama beberapa individu yang dilihat tidak menjaga penjarakan sosial mengundang reaksi pelbagai pihak.

Walaupun tidak menyebut namas Mohamed Fadzli, bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu kenyataan hari ini menegur pihak yang mengadakan majlis memotong reben ketika PKP.

“Jangan buat majlis potong reben benda-benda remeh atau terlalu gian untuk mempromosikan diri,” katanya, dipercayai ditujukan buat Mohamed Fadzli.

Ditanya susulan teguran Najib, Mohamed Fadzli menjelaskan bahawa beliau tidak ingin mengulas lanjut perkara tersebut.

“Saya juga tak mahu komen lanjut sebab saya anggap perkara ini biasa,” katanya lagi.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS