Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pocong hantui penduduk di musim wabak Covid-19'
Diterbitkan:  Apr 14, 2020 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

GLOBAL | Kelibat susuk berbungkus kain kafan disebut pocong yang meloncat-loncat ketika bulan mengambang menghantui Desa Kepuh di Indonesia, lapor Reuters

Bagaimanapun, hantu itu bukanlah hantu betul, melainkan cuma inisiatif penduduk kampung di Jawa untuk menggalakkan langkah penjarakkan sosial di tengah wabak Covid-19.

Ia dibuat dengan harapan kepercayaan karut sebegitu dapat membuatkan orang ramai tidak keluar dari rumah.

"Kami mahu buat lain daripada yang lain dan mencipta kesan pencegahan kerana pocong itu menakutkan," kata Anjar Pancaningtyas, ketua pemuda Desa Kepuh yang menyelaraskan kaedah itu bersama pasukan polis.

Bagaimanapun, kemunculan pocong di kampung itu memberi kesan sebaliknya daripada jangkaan awal, malahan menimbulkan rasa ingin tahu penduduk yang keluar dari rumah bagi melihat 'hantu' itu.

Akhirnya, penganjur mengubah taktik dengan melancarkan pasukan 'pocong' meronda kampung, dengan penduduk 'berlakon' menjadi hantu itu.

Pada 30 Mac lalu, di Terengganu tular di media sosial gambar susuk putih seakan berdiri di atas van.

Susuk berselubung putih, berambut putih dan berwajah putih itu mencuri perhatian banyak pihak yang memandangnya sebagai cara kreatif mengusik orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di seluruh negara.

Dalang di sebalik 'hantu putih' itu, Muhd Urabil Alias, 38, mengaku dia tidak menyangka gambar yang diambil malam 28 Mac itu akan tular.

Rancangan asal Urabil memang untuk memberi peringatan kepada orang lain agar arahan PKP dipatuhi, namun menyatakan, pada mulanya dia memuat naik di Facebooknya hanyalah untuk tatapan dan peringatan buat keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Gambar yang dimuat naik pada 28 Mac itu turut disertai kapsyen nakal: “Abang Rela, polis, tak ada kerja kosong bertugas ke malam ni? Bosanlah duduk seorang-seorang”, disertai tanda pagar #stayathome dan “(kalau) degil kita pergi mengusik”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS