Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Lid’ baca tajuk saja, sindir Najib
Diterbitkan:  Apr 14, 2020 10:52 AM
Dikemaskini: 10:06 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak menempelak pemimpin Amanah, Khalid Samad kerana dianggap tidak membaca keseluruhan kandungan berita yang disiarkan terlebih dahulu sebelum memuat naik hantaran di media sosial.

Najib berkata bekas menteri Wilayah Persekutuan itu salah tafsir berhubung hantarannya di Facebook tempoh hari yang disiarkan di Malaysiakini, berhubung isu lantikan politik.

“Ini kes orang yang baca tajuk berita sahaja tanpa membaca kandungan. Lid (Khalid) fikir saya puji PH kerana PH pernah janji untuk hentikan lantikan politik.

“Sebab itu, Lid pun kongsi artikel Malaysiakini itu dan ucap terima kasih pada saya.

“Jika dia baca artikel itu betul-betul, dia akan tahu bahawa saya tempelak PH kerana PH yang janji tiada lantikan politik, PH yang mungkir janji dan membuat lantikan politik beramai-ramai, lalu PH masih ada hati suruh PN tunaikan janji yang PH mungkir,” tulisnya.

Pada hantaran Facebook beliau semalam, Najib turut berkongsi hantaran ahli parlimen Shah Alam di Twitter beliau, dengan berterima kasih kepada Najib atas kenyataannya mengenai lantikan politik.

Khalid turut menyamakan isu lantikan politik itu dengan era BN dan PN.

Untuk rekod, semalam ahli parlimen Pekan itu mengkritik para pemimpin PH yang tidak habis-habis bercakap mengenai pentadbiran PN yang membuat siri pelantikan politik untuk mengetuai badan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dakwanya, sebelum PRU14 pada 2018 PH mengikrarkan janji bertulis untuk mengakhiri semua lantikan politik dan ini tidak seperti kerajaan PN.

Pada masa sama, Najib secara menyindir menasihatkan supaya Khalid membaca sebelum membuat sebarang komen dan berkongsi sebarang maklumat.

“Lid, jangan malas. PM ketujuh tak suka. Baca betul-betul sebelum komen dan kongsi.

Membaca jambatan ilmu, kata billboard gergasi Maszlee suatu masa dahulu,” sindirnya.

Lantikan politik PH di agensi k'jaan, bukan GLC

Membalas sindiran tersebut, Khalid berkata beliau sudah menjawab dakwaan Najib sebelum ini, berkenaan janji lantikan politik oleh kerajaan PH.

“Janji PH ke-22 adalah berhubung lantikan GLC. PH bezakan GLC dan agensi kerajaan, dan lantikan mesti atas dasar kelayakan dan kemampuan, walaupun untuk agensi.

“Hanya dalam agensi kerana ia bawah menteri, kita nak dia disokong oleh orang yang layak dan pro-PH. GLC lain,” katanya di Twitter dengan melampirkan salinan janji ke-22 dalam manifesto PH.

Janji ke-22 Buku Harapan menyebut: “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka”.

Dalam satu siri ciapan terdahulu pula, Khalid turut membezakan antara agensi kerajaan dan GLC, namun berkata baik sebarang lantikan di dua entiti itu harus dibuat atas faktor kelayakan dan bukan semata-mata berdasarkan faktor politik

“Untuk kedua-duanya, yang dilantik mesti berkelayakan. 'Dasar semua MP' (oleh kerajaan sekarang) menjurus kepada lantikan ganjaran tanpa ambil kira kelayakan,” katanya lagi.

Semalam, pemimpin Amanah yang juga bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil juga berkata lantikan politik dalam GLC oleh pentadbiran PH hanya dibuat ke atas badan bukan komersial.

Sebagai contoh, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) ada, tapi ia agensi kerajaan yang kakitangannya merupakan penjawat awam. Badan itu bertujuan untuk menguruskan hal ehwal kumpulan sasar di bawah MOA.

"Oleh kerana GLC ditubuhkan bagi menjalankan perniagaan, ia seharusnya diterajui golongan teknokrat atau profesional supaya ia dapat menjalankan fungsi sebenar, bukannya tempat memberi habuan politik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS