mk-logo
Berita
Perak tamatkan khidmat ahli majlis PBT dilantik era PH
Diterbitkan:  Apr 13, 2020 10:30 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak telah diberhentikan daripada jawatan yang dipegang mereka, berkuatkuasa 30 April.

Malaysiakini melihat sepucuk surat bertarikh 13 April yang mengandungi kepala surat rasmi pejabat sekretariat kerajaan negeri yang ditujukan kepada semua majlis bandaran dan daerah berhubung perkara ini.

Surat itu berjudul "Penamatan keahlian ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Negeri Perak Darul Ridzuan."

"Dimaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak Bilangan 1987 telah memutuskan: Status pelantikan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak lantikan 1 Ogos 2019 sehingga 31 Julai 2021 ditamatkan perkhidmatan mereka berkuatkuasa pada 30 April 2020.

"Keputusan ini hendaklah diambil tindakan serta-merta," kata surat itu.

Tiada sebarang penjelasan lanjut diberikan di dalam surat itu.

Kerajaan PH dibentuk selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 tetapi dalam masa kurang dari dua tahun, pentadbiran itu runtuh dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kekuasaan negara pada Februari 2020.

Kerajaan PN hasil ikatan kerjasama antara BN, PAS, Bersatu, GPS dan beberapa bekas pemimpin PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS