Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenapa lewat edar bakul makanan pada keluarga B40?'
Diterbitkan:  Apr 13, 2020 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Beberapa ahli parlimen pembangkang menimbulkan kebimbangan mengenai "kelewatan" dalam pengagihan bakul makanan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk keluarga B40 di setiap kawasan parlimen.

Kebimbangan itu hadir meskipun Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menyatakan bahawa 225,871 isi rumah telah menerima bakul makanan, yang akan dijangka memberi manfaat kepada satu juta isi rumah.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pertama kali menyuarakan kebimbangan itu dalam ciapan Twitter semalam di mana beliau berkata semua ahli parlimen diberitahu bahawa 1,000 bakul makanan akan disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk setiap kawasan.

Bagaimanapun, Yeoh berkata ramai anggota parlimen di Kuala Lumpur tidak melihat bekalan tersebut, walaupun sudah memasuki minggu keempat perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Kami diberitahu akan ada 1,000 bakul makanan yang akan disediakan oleh kerajaan pusat melalui JKM untuk setiap kawasan, tetapi ramai anggota parlimen di KL belum melihat bekalan makanan ini dan kita sudah memasuki minggu keempat PKP.

"(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Rina Harun perlu jawab," kata Yeoh.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yeoh berkata dia dimaklumkan bahawa pejabatnya perlu mengemukakan nama keluarga yang memerlukan bantuan kepada JKM pada 9 April.

"Kini minggu keempat PKP. Jika tujuan bakul makanan memberi makan kepada yang lapar, kenapa pengedaran pada minggu keempat?

"(Bayangkan) anda sebagai Rina, saya tidak yakin penduduk Titiwangsa sendiri sudah (dapat bakul makanan) sudah atau tidak.

"Menjijikkan untuk mempolitikkan makanan semasa krisis," kata Yeoh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong berkata beliau menghadiri mesyuarat pada 1 April dengan pejabat JKM Segamat dan diberi taklimat mengenai peruntukan khas persekutuan berhubung 1,000 bakul makanan bagi setiap ahli parlimen.

"Setelah sabar menunggu untuk bakul makanan seperti yang diberitahu oleh JKM Segamat, mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyampaikannya ke pusat khidmat saya," katanya.

Sejak itu, beliau berkata, Pengarah JKM Johor tidak menjawab mesej WhatsApp daripadanya.

Ahli Parlimen Lumut Dr Mohd Hatta Ramli juga memberitahu Malaysiakini bahawa sehingga hari Jumaat lepas (10 April), bakul makanan belum lagi diagihkan.

"Pejabat saya telah menyerahkan senarai penerima yang berpotensi, tetapi tidak ada arahan yang dibuat bila bakul makanan akan tiba, atau siapa yang akan melaksanakan pengedarannya," katanya.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengatakan bahawa dia dimaklumkan JKM telah menerima 300 bakul makanan yang dikhususkan untuk kawasannya.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menerima 300 bakul dan sedang menunggu arahan pengedaran," katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga kawasan parlimen di Perlis sudah menerima dan mengedar bakul makanan.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, bakul makanan yang dikhususkan untuk kawasannya telah diedarkan kira-kira seminggu yang lalu.

Malaysiakini juga telah menghubungi Rina untuk mendapatkan ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS