Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH gesa tangguh bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam
Diterbitkan:  Apr 13, 2020 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Keputusan tiada penangguhan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) wajar dipertimbangkan semula demi meringankan beban penjawat awam.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu perlu kerana ia sejajar dengan moratorium dilaksanakan kerajaan yang mampu membantu semua pihak mengharungi kegawatan ekonomi.

"Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin suram akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), semua golongan pekerja tidak terkecuali dari terkesan, termasuk 800,000 penjawat awam yang menerima pembiayaan pembelian rumah melalui LPPSA.

"Ramai di kalangan penjawat awam kini menjadi sumber sokongan kewangan buat ahli-ahli keluarga dan sanak saudara yang tiada pendapatan pada waktu PKP ini, lebih-lebih lagi kerana wujudnya persepsi bahawa ‘penjawat awam banyak terima bantuan kerajaan’.

"Oleh itu, kerajaan perlu pertimbang semula pendirian LPPSA dan mencadangkan moratorium pembayaran selama enam bulan diberikan kepada penjawat awam gred 56 ke bawah bermula 1 April 2020," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pemimpin kanan PKR, Amanah dan DAP, iaitu Fahmi Fadzil, Hatta Ramli dan Ong Kian Ming.

Katanya, sebagai contoh, laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ oleh Bank Dunia menyatakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati 28 peratus rakyat yang bekerja terpaksa meminjam daripada ahli keluarga untuk membeli barang keperluan asas.

"Dalam keadaan sekarang, sudah pasti jumlah peminjam seperti ini bertambah dengan mendadak, dan kebiasaannya ahli keluarga yang akan dicari pada waktu ini adalah dari kalangan penjawat awam.

"Maka kesan ketiadaan moratorium ini terhadap kewangan para penjawat awam tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi kumpulan Gred 56 ke bawah," katanya.

LPPSA pada 8 April memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan memandangkan kebajikan penjawat awam terjaga dan bagi memastikan kelangsungan serta sumber kewangannya kekal.

LPPSA berkata, kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA juga telah disubsidikan pada kadar faedah 4.0 peratus, lebih rendah berbanding kadar yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.

Tambahnya lagi, kadar faedah pembiayaan itu juga jauh lebih rendah berbanding kos dana yang diperoleh LPPSA melalui terbitan sukuk iaitu pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5 peratus.

LPPSA turut menekankan bahawa penjawat awam dan pesara kerajaan masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan masing-masing.

Selain itu, kebajikan mereka di bawah pakej rangsangan PRIHATIN tetap menjadi keutamaan melalui bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara one-off (sekali) kepada lebih 1.5 juta penjawat awam bagi gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara kerajaan bermula April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS