Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO kumpul dana untuk ibu warga asing nak bersalin

Ibu mengandung yang sedang menunggu waktu bersalin akan berada dalam situasi tertekan pada hari-hari sebelum melahirkan cahaya matanya. 

Apatah pula dalam keadaan negara sedang berhadapan wabak Covid-19 dan lebih teruk apabila golongan ibu mengandung ini ialah golongan warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah – mempunyai sedikit atau mungkin langsung tiada akses kepada kemudahan kesihatan.

Mengambil kira situasi yang mencabar ini, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000 untuk membantu - pada peringkat permulaannya 35 orang - ibu mengandung yang menunggu waktu bersalin di daerah sekitar Lembah Klang.

“Dengan setiap kelahiran bayi secara normal menelan kos sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 (yang mungkin akan meningkat dua kali ganda sekiranya pembedahan Caesarean dan komplikasi lain), sasaran mengumpul dana sekurang-kurangnya RM150,000.

“Buat masa ini, dana yang ada cukup hanya untuk sepuluh orang ibu mengandung,” kata suatu hantaran yang dikongsi di dalam kumpulan Facebook Caremongering Malaysia – ditubuhkan sebagai platfom respons komuniti untuk krisis Covid-19.

“Mereka (NGO) telah menghantar surat meminta Kementerian Kesihatan untuk mengecualikan bayaran bil untuk ibu-ibu mengandung yang tidak mempunyai dokumen dan turut meminta pengecualian bayaran dari hospital swasta untuk ujian saringan Covid-19.

“Sekarang, sebarang dana amat diperlukan.”

Inisiatif Tabung Kecemasan Wanita ini melibatkan NGO yang bekerja dengan warga asing tanpa dokumen, pelarian, kanak-kanak jalanan dan komuniti gelandangan.

Pengasas Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin mengumumkan ikhtiar tersebut pada minggu lalu dengan disertakan maklumat cara-cara membuat sumbangan.

Hartini (gambar, bawah) berkata suami kepada wanita warga asing itu bekerja dengan mendapat upah harian dan kehilangan punca pendapatan apabila projek-projek dihentikan sebaik sahaja arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula.

Aktivis akar umbi Indonesia, Nasrikah Sarah ketika dihubungi Malaysiakini mengamil maklum PKP yang sedang berlangsung memberi kesan kepada warga asing yang mempunyai dokumen serta yang tidak berdokumen, dengan peningkatan mendadak pasangan suami isteri yang kehilangan pekerjaan.

“Ini adalah satu situasi yang rumit dan berisiko terhadap keselamatan bayi dan ibu yang menunggu kelahiran, sekiranya ibu tersebut tidak mempunyai akses terhadap kemudahan hospital.

“Pengecualian bayaran untuk proses kelahiran akan membantu kehidupan golongan ibu yang menunggu kelahiran tidak berdokumen dan bayi mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam inisiatif mengumpul sumbangan terbaru kumpulan itu, Nasrikah berkata bantuan lain akan dipertimbangkan seperti makanan dan keperluan asas untuk penjagaan bayi, dalam tempoh masa 40 hari selepas melahirkan anak.

Sejak PKP berlangsung pada 18 Mac, yang kini memasuki fasa ketiga, terdapat berbagai ikhtiar rakyat Malaysia yang mengangkat semangat kempen atas talian dengan tanda pagar #kitajagakita, bertujuan membantu golongan yang memerlukan. 

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS