Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM: Ada kes sembuh didapati 'positif lemah' tetapi tiada kebolehjangkitan

Terdapat beberapa kes di mana pesakit yang didapati "positif lemah" Covid-19, setelah mereka dilihat sudah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun menurut Noor Hisham, mereka tidak akan menularkan wabak itu kepada orang lain.

"Ada dua atau tiga kes di mana mereka didapati positif selepas diuji negatif dan dibenarkan pulang, tetapi ia positif yang lemah iaitu di peringkat virus shedding (pelepasan progeni virus, atau 'anak virus', selepas proses kelahiran ketika jangkitan hos-sel).

"Ada kala ia sangat lemah jadi ia tidak menjangkiti (orang lain), tetapi pengesannya memang lemah," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya lagi, ada kebarangkalian pesakit boleh dijangkiti semula tetapi risikonya sangat rendah.

"Setakat ini kita belum ada pesakit yang dijangkiti semula, tetapi ada dua tiga kes yang (dikesan) positif lemah," katanya lagi.

Noor Hisham menjawab soalan berkenaan 91 pesakit di Korea Selatan yang kembali didapati positif Covid-19, selepas ujian sebelumnya mendapati mereka sudah sembuh.

Pengarah Korea Centres for Disease Control and Prevention (KCDC) Jeong Eun-kyeong berkata virus tersebut mungkin "kembali aktif", dan bukannya pesakit dijangkiti semula.

Sementara itu, Noor Hisham berkata penyelidikan berkenaan keberkesanan pengunaan plasma darah pesakit Covid-19 yang telah sembuh untuk merawak kes-kes aktif masih berjalan.

Katanya, seramai 12 pesakit telah tampil secara sukarela untuk ujian itu dan mereka telah diberi kaunseling dan dirujuk kepada Pusat Darah Negara.

"Pada masa ini penyelidikan masih di peringkat awal, ia akan mengambilsedikit masa sebelum kita dapat sebarang bukti yang kuat (berkenaan keberkesanannya," katanya.

Beliau juga berkata pihaknya masih belum menemui kit ujian pantas (RTK) Covid-19 yang disahkan dapat membuat ujian secara tepat dan laju.

Bagaimanapun beliau berkata KKM akan menguji kit ujian kedua yang diterima dari Korea Selatan tak lama lagi.

Pada masa ini, katanya, KKM juga sedang melihat kit ujian yang dibuat oleh sebuah syarikat Amerika Syarikat di Pulau Pinang.

Kata Noor Hisham, mereka berdepan masalah sama untuk mendapatkan kit ujian itu kerana perlu mendapatkan kelulusan dari Amerika Syarikat, yang memiliki hak harta intelek (IP), walaupun pembuatannya di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata masih belum ada bukti kukuh berkenaan keberkesanan terowong sanitasi, yang sebelum ini dikatakan dapat menghalang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) dan Kajian Klinikal Malaysia (CRM) di bawah KKM sedang menjalankan ujian terhadapnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS