TINJAUAN | Rata-rata mereka yang bekerja sebagai tukang gunting lebih memilih untuk terus menghentikan sementara perkhidmatan sehingga perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat sepenuhnya.
Tinjauan Malaysiakini mendapati kebanyakan mereka enggan mengambil risiko sekali gus memberi kerjasama usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Seorang pengusaha kedai gunting rambut, Muhammad Syamil Naim Jamil, 32, berkata, dia membuat keputusan untuk terus menutup operasi kedainya selagi PKP belum ditamatkan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengeluarkan senarai beberapa sektor dibenarkan beroperasi dalam fasa ketiga PKP termasuk kedai gunting rambut.
"Kita risau kebenaran itu bakal mewujudkan kluster baru penularan Covid-19, jadi saya dan kawan-kawan lain buat keputusan untuk terus menutup operasi kedai sehingga PKP ditamatkan.
"Dalam usaha kita memutuskan rantaian penularan wabak ini, saya kira lebih baik kita tidak ambil risiko kepada diri sendiri dan pelanggan," katanya yang mengusahakan kedai gunting Neighbourhood Barbershop di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Bagi pengusaha Kedai Gunting Guu Kito, Muhamad Taufiq Zakaria, 28, berkata, dia turut mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi kedainya selagi PKP berjalan.
"Saya tidak bersetuju dengan kebenaran tersebut kerana kita akan terdedah kepada risiko jangkitan.
"Saya berpendapat risiko tetap tinggi selagi kes Covid-19 yang positif menunjukkan peningkatan yang aktif.
"Jadi saya fikir lebih baik kita sama-sama membantu usaha mengekang wabak ini," katanya yang mengusahakan perkhidmatan itu di Kampung Teliar, Pasir Mas.
Pada 10 April lalu, Miti mengeluarkan senarai sejumlah perkhidmatan dan sektor yang dibenarkan beroperasi semula semasa tempoh PKP.
Ia termasuklah kedai gunting rambut, dobi bukan layan diri, beberapa kategori dalam projek pembinaan dan kedai barangan elektrik dan elektronik.
Sementara itu Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, hari ini berkata, Miti akan memberikan maklumat lanjut berhubung kebenaran terhadap kedai gunting dan salon rambut beroperasi semula semasa fasa ketiga PKP.
Menurutnya, Miti sebelum ini mengumumkan keputusan berkenaan belum muktamad dan bukan bermakna akan dilaksanakan secara automatik.
Terdahulu, segelintir pemain industri mengeluh kurang jelas berkenaan ketetapan itu, ada juga kritikan daripada pengusaha perkhidmatan gunting rambut sendiri.
Antaranya Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) yang menggesa kerajaan mempertimbang semula keputusan itu, dengan menegaskan bahawa mustahil untuk melakukan penjarakkan sosial dalam tugas mereka.
Sementara itu Mohd Rosli Awang Noh, 39, turut memutuskan untuk tidak membuka dua cawangan kedainya di Kota Bharu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan rakan-rakan tukang gunting yang lain dan mereka setuju.
"Perkara ini melibatkan keselamatan dan nyawa orang ramai, saya berpendapat lebih baik kita tutup dahulu sehingga selesai semuanya.
"Sama-samalah kita berdoa dan beri kerjasama kepada kerajaan dalam usaha ini," katanya.