Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan serah pada polis, Jabatan Penjara bincang isu kesesakan penjara
Diterbitkan:  Apr 12, 2020 4:05 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Kerajaan menyerahkan soal kesesakan dalam penjara ekoran hukuman terhadap pesalah perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk dibincangkan antara polis dan Jabatan Penjara, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang merupakan menteri kanan kluster keselamatan itu berkata demikian ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

"Dalam soal (kesesakan di) penjara, kita serahkan kepada polis dan Jabatan Penjara untuk bincangkan soal penjarakan sosial dan aspek keselamatan lain. Kita serahkan kepada mereka.

"Cuma saya nak tegaskan apabila (mana-mana individu) dihadapkan ke mahkamah, ia bukan lagi bawah kuasa polis tetapi mahkamah untuk tentukan hukuman," katanya.

Beliau berkata polis mempunyai pilihan sama ada untuk mengenakan denda RM1,000 atau membawa mereka yang ingkar PKP ke mahkamah, di mana hukuman lebih berat akan dikenakan.

Beliau juga berkata pihak berkuasa mungkin akan memilih untuk membawa mereka yang ingkar ke mahkamah, bagi menangani masalah itu yang masih berterusan.

Menurut Ismail, mesyuarat khas menteri kanan berkenaan PKP hari ini juga membincangkan pandangan sesetengah pihak bahawa denda RM1,000 terlalu rendah untuk menghalang mana-mana individu daripada melanggar perintah itu.

"Tetapi akta menyatkaannya dengan jelas, kompaunnya RM1,000. Jika kita ingin ubah, perlu dibawa ke Parlimen.

"Jadi setakat ini kompaun masih dalam kadar itu. Tetapi seperti saya kata, polis ada pilihan sama ada nak beri kompaun atau bawa kes ke mahkamah.

"Jika dibawa ke mahkamah, hukuman seperti penjara boleh diberikan," katanya lagi.

Isu kesesakan di penjara timbul apabila sejumlah individu yang ingkar PKP dikenakan hukuman tersebut.

Jabatan Penjara kemudian menulis surat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk meminta agar mahkamah berhenti menjatuhkan hukuman itu kepada pesalah PKP, atas dasar kesesakan di penjara dan risiko penularan wabak Covid-19 di sana.

Menurut seorang jurucakap penjara, kini terdapat 73,000 banduan di ruang yang sewajarnya hanya untuk 52,000 orang.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat kemudian menyuarakan gesaan agar para hakim mengambil kira isu tersebut ketika menjatuhkan hukuman. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS