mk-logo
Berita
Fasa ke-3 PKP: K'jaan akan tetapkan harga siling barang keperluan asas
Diterbitkan:  Apr 12, 2020 3:41 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Kerajaan akan menetapkan harga siling untuk sejumlah barangan makanan bagi fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP), yang bermula 14 hingga 28 April ini.

Menteri kanan untuk kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob, berkata inisiatif kawalan harga biasanya dibuat ketika musim perayaan, tetapi kabinet dalam mesyuarat khas hari ini memutuskan untuk melaksanakannya lebih awal.

Beliau berkata, senarai barangan kawalan akan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tak lama lagi.

"Sejak kita masuk (fasa ketiga) PKP, kerajaan bersedia dengan kemungkinan peniaga mengambil kesempatan untuk meningkatkan harga makanan (sewenang-wenangnya)," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, KPDNHEP telah menerima 8,145 aduan setakat ini, berkenaan harga dan bekalan barangan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Aduan boleh dibuat menerusi Whatsapp, laman web kementerian itu atau talian bebas tol (1-800-886-800).

Sementara itu, Ismail berkata KPDNHEP berpuas hati dengan bekalan mencukupi bagi 25 barangan pengguna paling popular.

"Ia termasuk topeng muka dan pembersih tangan," katanya lagi.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut memberi penerangan kepada kabinet bahawa bekalan makanan asas, terutama beras, adalah mencukupi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS