Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan memberikan maklumat lanjut berhubung kebenaran terhadap kedai gunting dan Salun rambut beroperasi semula semasa fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKPD), kata Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, Miti sebelum ini mengumumkan keputusan berkenaan belum muktamad dan bukan bermakna akan dilaksanakan secara automatik.
“Maklum lanjut dan prosedur operasi dan sebagainya akan dijelaskan oleh Miti,” kata menteri pertahanan itu dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Ismail berkata, cadangan untuk membenarkan industri tertentu beroperasi semula hanyalah di kawasan yang dianggap sebagai zon hijau oleh kementerian kesihatan.
"Ini keputusan akan dibuat Miti, lebih-lebih lagi cadangannya di kawasan hijau sahaja dan bukan kawasan merah dan sebagainya," jelasnya.
PKP mula dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac, tetapi dilanjutkan sehingga 14 April.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilanjutkan selama dua minggu lagi, bermula 15 April ini hingga 28 April.
Semasa pengumuman PKP fasa ketiga ini, Muhyiddin berkata, beberapa sektor perniagaan akan dibenarkan beroperasi secara beransur-ansur.
Berikutan itu, Miti pada hari yang sama mengeluarkan senarai industri dan perniagaan yang boleh memohon kelulusan untuk beroperasi.
Antara yang disenaraikan termasuk kedai dobi dan perkhidmatan menggunting rambut.
Bagaimanapun, pengumuman itu dikritik terutama kebenaran agar kedai gunting dan salun rambut beroperasi semula berikutan kebimbangan risiko penyebaran Covid-19.
Pengumuman itu juga mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang mengatakan kerajaan perlu menangguhkan keputusan untuk membenarkan premis berkenaan beroperasi.
Berikutan bantahan berkenaan, Ismail dalam satu sidang akhbar semalam berkata Miti akan mempertimbangkan pandangan orang ramai mengenai perkara itu.
Menurut Ismail hari ini, Miti akan meneliti perkara itu dengan teliti.
Tambah beliau, Miti juga sebelum ini mengumumkan bahawa pelaksanaan tersebut tidak akan dilakukan secara automatik.
"Miti akan perhalusi setiap pandangan diberi rakyat. Cuma itu peringkat awal bukan (dilaksanakan secara) automatik.
"Keputusan pada pihak Miti. Biarlah Miti keluarkan press statement mereka untuk beri penjelasan," katanya.