Keputusan kerajaan untuk membenarkan kedai gunting rambut dan beroperasi semula sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) mencerminkan jurang antara kabinet dengan orang awam, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
"Episod kedai gunting rambut ini menonjolkan jurang besar antara kelas menteri dan orang biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata, barangkali ia kali pertama di dunia di mana usaha untuk melonggarkan sekatan pergerakan ekoran wabak Covid-19 bukan saja dibantah orang awam, tetapi pihak yang sepatutnya mendapat faedah daripada kelonggaran itu.
Pada 10 April lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengeluarkan senarai sejumlah perkhidmatan dan sektor yang dibenarkan beroperasi semula semasa tempoh PKP.
Ia termasuklah kedai gunting rambut, dobi bukan layan diri, beberapa kategori dalam projek pembinaan dan kedai barangan elektrik dan elektronik.
Meskipun segelintir pemain industri mengeluh kurang jelas berkenaan ketetapan itu, ada juga kritikan daripada pengusaha perkhidmatan gunting rambut sendiri.
Antaranya Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) yang menggesa kerajaan mempertimbang semula keputusan itu, dengan menegaskan bahawa mustahil untuk melakukan penjarakan sosial dalam tugas mereka.
Begitu juga dengan Persatuan Pendandan Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan, yang mempersoalkan kemampuan mengekalkan jarak satu meter antara tukang gunting dengan pelanggan.
Sementara itu, Lim berkata jurang antara menteri dan orang awam perlu dikurangkan menerusi rundingan yang dibuat dengan betul dan meluas antara kerajaan dan masyarakat sivil.
“Ia juga menjadi sebab mengapa sidang parlimen tergempak perlu dilaksanakan tanpa ditangguh,” katanya lagi.
Katanya, kerajaan Amerika Syarikat (AS), Itali, Perancis, United Kingdom (UK) dan Turki telah menjalankan tanggungjawab itu dan Malaysia sepatutnya tidak terkecuali.