Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Demi putus rantaian jangkitan, mahasiswa mahu tetap di kampus

Susulan pengumuman lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 28 April, mahasiswa yang kini menjalani perintah itu di kampus antara golongan yang terkesan.

Sejumlah pihak menjelaskan bahawa mahasiswa wajar dihantar pulang ke rumah masing-masing, dengan ada yang mencadangkan bagaimana ia dapat dilaksanakan.

Ada pula yang mengatakan mahasiswa perlu kekal di kampus bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di kampung halaman masing-masing.

Beberapa mahasiswa yang bercakap dengan Malaysiakini setuju dengan pandangan kedua, iaitu mereka perlu kekal di mana mereka berada sekarang selepas melihat krisis Covid-19 pada masa ini.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ammierul Mukminin Mohammed berpadangan tidak wajar untuk mahasiswa dihantar pulang ke kampung halaman kerana bimbang ia akan membawa kepada penularan Covid-19.

Pemuda yang berasal dari Sabah itu melihat langkah untuk kekal di kampus sebagai sumbangan yang mampu diberikannya bagi memastikan negara dapat membendung wabak tersebut.

Ammierul Mukminin

“Ramadan menjelang dan (kemungkinan lanjutan PKP) sehingga Aidilfitri juga boleh dilihat, tapi bagi saya pengorbanan yang agak besar ni perlu.

“Rasanya tak wajar mahasiswa pulang ke rumah atas dasar keselamatan dan mengelakkan penyebaran virus,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Asrul Romdani Bujang Saili pula merasakan isu mahasiswa yang tinggal di kampus bukanlah keutamaan yang perlu dibincangkan kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap isu keselamatan dan ekonomi yang terjejas ekoran pandemik itu, selain langkah membenarkan mereka pulang ke kampung halaman akan membawa risiko peningkatan kes baru.

“Saya berasa selamat di hostel, tiada masalah. Kalau tidak boleh pulang pun sekurang-kurangnya nya kita dapat bantu kerajaan kurangkan risiko penularan,” katanya yang merupakan pelajar jurusan pergigian.

Asrul Romdani

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Sarawak berkata keadaan berbeza jika PKP dilanjutkan sehingga Hari Raya Aidil Fitri, dengan langkah perlu dibuat untuk memastikan mahasiswa dapat pulang.

"Saya tidak fikir kami sedia untuk tinggal di kampus sepanjang tempoh itu. Malah PKP barangkali dilanjutkan dua bulan selepas Hari Raya.

"Saya harap kerajaan boleh cari jalan untuk kami pulang ketika itu. Saya faham jumlah pelajar besar tetapi dengan cara perlaksanaan yang baik, tidak akan ada risiko jangkitan," katanya lagi.

Ketika PKP mula-mula dilaksanakan 18 Mac lalu, kalangan mahasiswa menjadi tumpuan apabila ribuan menyerbu stesen bas untuk membeli tiket bagi pulang ke kampung halaman.

Ia dilihat bertentangan dengan penguatkuasaan PKP yang antara lain bagi penjarakan sosial dan mengelakkan pergerakan orang ramai.

Dengan lanjutan PKP dan ketidakpastian bila ia akan ditamatkan, terdapat gesaan agar mahasiswa yang masih tinggal di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata mesyuarat khas kabinet akan diadakan bagi meneliti kaedah terbaik untuk menghantar mahasiswa pulang.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta Kementerian Pengajian Tinggi supaya "bersabar" dan menunggu data daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata pihaknya akan mengkaji data terkini proses fasa PKP dalam "seminggu dua" lagi sebelum membuat syor kepada kementerian itu.

Sementara itu, mahasiswa jurusan kejururawatan UIAM Siti Nurbayani Abu Bakar turut berkata akan terus tinggal di kampus, walau tidak menafikan perasaan rindunya terhadap keluarga.

“Semestinya menjadi dambaan semua pelajar di sini untuk pulang menyambut Ramadan bersama keluarga.

“Tetapi sebagai mahasiswa kampus kesihatan, kami faham langkah pencegahan bagi memutuskan rangkain jangkitan Covid-19 lebih utama dan berharga untuk diri dan seluruh rakyat.

“Kami akur dengan sebarang pengumuman atau keputusan pihak autoriti kampus berdasarkan keputusan semasa Kementerian Pengajian Tinggi KPT,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS