Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bos AirAsia harap pelanggan terima kredit berbanding bayaran balik
Diterbitkan:  Apr 12, 2020 9:08 AM
Dikemaskini: 1:08 AM

AirAsia meminta pelanggan menerima sistem kredit dan bukannya bayaran balik bagi penerbangan yang dibatalkan disebabkan wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan, pemilik AirAsia Tony Fernandez berkata, lebih 80 peratus pelanggan menerima kredit sebagai alternatif.

"Kami benar-benar menghargainya," katanya sambil menambah perkara itu juga dilakukan oleh ramai pengusaha dalam industri pelancongan.

"Ia mencerminkan tumpuan kami untuk keluar dari masa yang sukar ini dan terbang lagi bersama anda secepat mungkin.

"Kami memastikan bahawa kami mematuhi semua peraturan dan keperluan kerajaan dan pihak berkuasa dan percaya ini adalah penyelesaian terbaik," katanya.

Fernandez berkata kredit berkenaan adalah sah selama 365 hari dan tarikh penerbangan boleh ditukar tanpa had masa.

Seperti kebanyakan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, penerbangan hampir kesemua 207 pesawat AirAsia ditangguhkan disebabkan oleh wabak Covid-19 dan syarikat itu juga bergelut dengan kedudukan kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah pelanggan yang mahukan bayaran balik meningkat dan proses itu mungkin mengambil masa antara 12 hingga 16 minggu.

AirAsia tidak menawarkan sebarang bentuk insentif untuk pelanggan menerima kredit dan bukannya bayaran balik.

Sebagai contoh, Singapore Airlines menawarkan kredit bonus sehingga SG $ 500.

Fernandez berkata AirAsia tidak mempunyai pendapatan kerana 96 peratus pesawatnya tidak dapat melakukan penerbangan dan syarikat itu masih mempunyai komitmen kewangan seperti membayar pembekal bahan api.

Beliau berkata syarikat itu melakukan segala yang mungkin untuk mengurangkan kos pada masa ini.

"Kami adalah salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan di dunia yang akan terus menjaga kakitangan kami.

"AirAsia adalah seperti sebuah keluarga dan terdapat puluhan ribu yang bergantung kepada perniagaan ini untuk mencari nafkah demi kesejahteraan keluarga kami," katanya.

Fernandez berkata beliau dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AAGB) Kamarudin Meranun akan melepaskan gaji mereka, sementara kakitangan AirAsia perlu menerima pengurangan gaji dari 15 peratus kepada 75 peratus buat sementara waktu.

"Saya mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka memahami perkara ini dalam mengharunginya bersama," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS