Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lapor terus kekurangan PPE pada pegawai KKM - Dr Noor Hisham

Pihak yang mempunyai maklumat kekurangan PPE di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) boleh terus mengemukakannya kepada pegawai yang dikenal pasti di peringkat negeri bagi semakan segera dan tindakan mobilisasi mengikut keperluan dan keutamaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di laman Facebooknya berkata di peringkat KKM, isu utama yang perlu segera ditangani adalah berkaitan distribusi dan mobilisasi stok ke fasiliti yang menghadapi kekurangan PPE, serta pola penggunaan PPE oleh petugas kesihatan.

"Senarai nama, nombor telefon dan e-mail pegawai bagi setiap negeri adalah dilampirkan (sebagai rujukan mereka yang ingin melaporkan maklumat kekurangan PPE). Malahan, sumbangan PPE oleh pelbagai pihak sememangnya membantu dan jutaan terima kasih diucapkan.

"KKM juga menyeru penggunaan PPE secara cermat dan berhemah oleh semua kakitangan KKM. 

"Perjuangan ini masih panjang. Andalah aset utama negara dalam menghadapi penularan Covid-19 ini dan KKM amatlah prihatin dengan kesejahteraan anda," katanya.

Beliau berkata bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem pangkalan data mudah yang dikendalikan oleh pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri, hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah PKD) di mana pelaporan harian adalah dibuat secara dalam talian.

"Laporan ini dipantau rapat di peringkat Ibu Pejabat KKM dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat terus sekiranya didapati terdapat stok yang berkurangan bagi mana-mana fasiliti KKM," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS