Satu mesyuarat khas kabinet hari ini akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) ke rumah masing-masing, berikutan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 28 April.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementerian dan akan dibawa ke mesyuarat kabinet.
"Saya mahu anak-anak pelajar bukan sahaja dapat pulang ke rumah tetapi pulang dalam keadaan sihat dan selamat," katanya menerusi Facebook.
Sebelum PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac, ribuan pelajar menyerbu stesen bas untuk membeli tiket dan balai polis untuk mengisi dokumen bagi membolehkan mereka pulang ke rumah masing-masing.
Dengan ketidakpastian berapa lama lagi PKP akan diteruskan, terdapat gesaan agar mereka yang masih tinggal di kampus pulang ke rumah masing-masing.
Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris turut menggesa Majlis Keselamatan Negara (MPN) merangka kaedah agar pelajar dapat pulang ke rumah dengan selamat.
"Saya faham dan sedar cadangan ini mengambil satu risiko besar dalam kita mencegah penularan wabak Covid-19.
"Tetapi kita juga mesti peka dengan tahap kehidupan pelajar yang terkandas di asrama masing- masing yang boleh menyebabkan mental mereka calar malah ini juga boleh mengundang risiko lebih besar pada tahap mentaltiti pelajar seperti kemurungan dan stress," katanya dalam satu kenyataan.
Begitu juga, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa kerajaan membenarkan pelajar pulang secara berperingkat.
MPPK juga mencadangkan kerajaan menyewa penerbangan khas untuk pelajar yang perlu pulang ke Sabah dan Sarawak.
Sebelum PKP dilanjutkan sehingga 28 April, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pelajar perlu kekal di kampus masing-masing.
"Bermakna bagi pelajar di kolej atau universiti SOP lama mereka masih perlu kekal di kampus kediaman mereka dan makanan seperti biasa akan diteruskan," katanya ketika ditanya sama ada ibu bapa akan diberi kelonggaran untuk mengambil anak mereka di kampus atau kolej kediaman.