Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Hari ini masuk hari ke-24 penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, menyaksikan semua operasi perniagaan diarahkan tutup, melainkan perkhidmatan penting.

Meskipun dibenarkan beroperasi, sektor perkhidmatan penting tetap perlu memikirkan cara meneruskan perusahaan, terutama buat pengusaha kecil dan sederhana (PKS) apabila banyak sektor sokongan menutup operasi, manakala orang ramai tidak lagi berkunjung ke premis perniagaan kerana pelaksanaan PKP.

Bagi pengarah urusan kepada perusahaan hasil pertanian Kundasang Aquafarm PLT, Azizul Julirin, 32, ini bermakna dia perlu memikirkan kaedah baru menjual produk sayurannya setelah kehilangan hampir 95 peratus pelanggan beberapa hari selepas PKP dikuatkuasakan.

Katanya, dalam lima hari pertama PKP, berlaku lambakan sayur lebih 4 tan hasil kebunnya, ekoran penutupan operasi restoran, hotel, restoran makanan segera dan lain-lain di sekitar Kota Kinabalu dan juga dari Brunei.

Tidak menunggu lama, Azizul memikirkan cara bagi menyelamatkan perusahaannya di Kundasang, Sabah, yang turut menjadi sumber pendapatan buat lima pekerja itu.

Bersama lebih 100 petani kecil yang lain, Azizul melantik 11 orang ejen di tujuh kawasan yang padat penduduk sekitar Kota Kinabalu, membuat pemasaran produk pertanian mereka secara dalam talian, sebelum membuat penghantaran pukal kepada ejen berkenaan.

Ejen tersebut seterusnya akan menguruskan tempahan dan pengedaran sayuran ke penduduk di kawasan masing-masing menggunakan khidmat penghantar barangan di sekitar Tuaran, Likas, Inanam, Bundusan, Kepayan, Kinarut dan Petagas.

Menurut Azizul, permintaan semakin hari semakin memberangsangkan, lebih-lebih lagi sayuran dijual 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran sebelum PKP dilaksanakan, dan semua pembayaran dibuat melalui dalam talian.

“Setakat ini (semalam), kami telah memasarkan hampir 28 tan sayuran, menggunakan kaedah tadi- daripada petani, kepada ejen jualan, terus kepada pintu-pintu rumah pembeli menggunakan rider dan runner.

“Saya telah membantu lebih 100 orang peniaga dan petani kecil di Kundsasang sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Meskipun mengakui mengalami kemerosotan keuntungan kerana harga sayur yang murah, namun bagi mereka, yang penting adalah mendapat pulangan untuk pusingan modal, manakala keuntungan yang diperoleh boleh digunakan untuk kelangsungan hidup serta mengusahakan tanaman untuk pusingan seterusnya.

Bagi Muhamad Faizu Enet Ghani, 36, yang mengusahakan perniagaan ketupat palas di Hulwah Frozen Food di Wakaf Beruas, Kuala Terengganu, dia juga beralih ke pasaran dalam talian setelah dua hari “termenung” mengenangkan kemerosotan pelanggan gara-gara PKP.

Bermula dengan hanya memasarkan ketupatnya di Whatsapp pada hari ketiga PKP, Faizul memaklumkan dia berjaya mendapat 25 tempahan pada hari tersebut, semuanya dihantar sendiri olehnya tanpa mengenakan cas penghantaran.

Kira-kira seminggu selepas PKP, dia turut berniaga di hadapan kedainya setelah memperoleh surat pelepasan perniagaan, selain membuka semula premis yang ditutup sebelum itu kerana memikirkan sumber pendapatan buat lima pekerjanya.

Setiap hari, katanya, dia membuka kedai dari jam 8.30 pagi hinggalah ke jam 12 tengah hari dan kemudian membuat penghantaran sehingga petang.

“Dari segi itu, ada peningkatan (jualan). Cuma kita memang lenguh sikitlah. Pagi keluar, jual tengah panas, petang pula menghantar makanan, dengan (cabaran) cuacanya, sekatan jalannya, tapi kebalkan hati untuk menjana pendapatan bisnes keluarga,” katanya ketika dihubungi.

Malah, dia juga mempelbagaikan menu ketupatnya dengan membeli beberapa jenis kuih daripada usahawan lain, seperti kuih akok, ropa (kuih tradisional Terengganu) dan denderam, untuk membantu mereka menjana pendapatan selain memberi lebih banyak pilihan buat pelanggan.

Menurut Faizu, ketika PKP dilaksanakan pada awalnya, perusahaannya mengalami sehingga 75 peratus kemerosotan jualan.

Bagaimanapun, dengan melakukan ubah suai terhadap cara perniagannya, dia berjaya mengurangkan kemerosotan sehingga 30 peratus sahaja.

“Kita amalkan sifat bersyukur, Insya-Allah adalah yang lebihnya,” katanya sambil berpesan agar usahawan yang diberi kebenaran berniaga tidak terlalu ghairah sehingga melanggar penjarakan sosial dan saranan PKP.

Kedua-dua Azizul dan Faizu terlibat dalam sektor makanan, yang merupakan salah satu daripada 11 senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi semasa PKP tahap 1 yang berkuat kuasa 3 April, berdasarkan pewartaan PU(A)112.

Sebelum fasa kedua PKP dikuatkuasakan, terdapat 23 perkhidmatan perlu yang disenaraikan, namun dikemas kini pada 31 Mac untuk senarai lebih ringkas.

Ini bermakna, bagi perusahaan yang tidak tergolong dalam perkhidmatan penting, keadaan menjadi lebih sukar kerana mereka langsung tidak dibenarkan membuka premis.

Rustam Aritz Che Mat, 33, francaisi di bawah Gadgets World 666 Sdn Bhd (Gadets World) yang menjual aksesori telefon, memaklumkan bahawa operasi di semua rangkaian kedai di seluruh negara ditutup memandangkan saluran perniagaan utama Gadgets World adalah peruncitan.

Kata Rustam yang memiliki tiga rangkaian kedai Gadgets World- dua di Ipoh dan satu di Manjung, Perak- keadaan bertambah sulit apabila ada tuan premis yang tidak mahu memberikan pengurangan atau penangguhan sewa dalam masa yang mencabar ini.

“Pekerja (mungkin) boleh tidur malam, sekarang kita yang tak boleh,” katanya yang menanggung 15 pekerja di rangkaian kedai miliknya.

Namun, katanya yang juga pengurus sistem dan teknologi maklumat di ibu pejabat Gadgets World, satu saluran perniagaan dalam talian telah diwujudkan, selain kos operasi turut diselaraskan semula bagi menghadapi cabaran PKP yang belum pasti tarikh penghujungnya

Katanya, setakat ini, pendekatan itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan buat rangkaian-rangakain kedai di bawah Gadgets World, meskipun belum cukup untuk menampung syarikat sepenuhnya kerana baru dilaksanakan.

Bagi Mazratul Adzfifi Abdul Rashid, 33 yang menjalankan perusahaan langsir, Dazzle Curtain di Puchong secara sampingan, PKP bermakna tutup operasi dan tiada pendapatan.

Katanya, jika sebelum PKP, biasanya dia dapat membuat jualan langsir antara RM30,000 ke RM50,000, melibatkan pemasangan langsir di kira-kira 10 buah rumah sebulan, kini pendapatan sampingan daripada perusahaan langsirnya adalah sifar.

“Sekarang hanya buat marketing melalui FB Ads (iklan) dan ada yang masih bertanya serta berminat untuk slot ukur (langsir) selepas PKP.

“(Saya) Bersyukur ada sumber pendapatan lain. Ramai juga keluarga dan kawan-kawan yang memang bergantung pada perniagaan sebagai sumber rezeki,” katanya kepada Malaysiakini.

Petang semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan disambung dua minggu lagi sehingga 28 April, setelah mengambil kira maklum balas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS