Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pasukan perubatan China akan bertukar pengalaman lawan Covid-19'

Sejumlah pegawai perubatan profesional China akan datang ke Malaysia dalam masa dua minggu ini untuk melihat amalan perubatan serta bertukar pengalaman mengenai usaha melawan pandemik Covid-19.

"Dalam masa dua minggu, pasukan perubatan dari China akan ke sini dan secara asasnya mereka akan melihat prestasi hospital kita dan berkongsi pengalaman mereka, kerana mereka telah melalui pengalaman dalam menangani Covid-19.

"Beberapa inisiatif mereka tidak pernah dilakukan sebelum ini, kita tidak pernah melihatnya. (Jadi) kita ingin mendengar dan belajar daripada mereka dan mungkin mereka juga boleh belajar dari kita," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham menegaskan kehadiran pasukan itu bukan untuk mengambil alih perkhidmatan kesihatan negara tetapi untuk membuat pemerhatian dan bertukar pengalaman.

Katanya lagi, pihaknya juga sedang melihat cara untuk mengadakan kerjasama dengan China dalam aspek penyelidikan virus tersebut.

Sebaik sahaja virus itu dapat dihasilkan, penjujukan genom secara keseluruhan dapat dilakar dan virus baru itu dapat dikenal pasti dengan mudah, katanya lagi.

Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan bahawa virus itu memiliki dua strain (jenis, karakter) berbeza, tetapi Noor Hisham berkata beliau tidak pasti sama ada di Malaysia virus itu turut mempunyai strain berbeza.

Beliau juga tidak pasti sama ada strain itu menjadikan kadar kematian dan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Malaysia lebih rendah berbanding negara lain.

Ditanya sama ada terdapat pihak yang tidak memberi kerjasama terhadap perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD), Noor Hisham berkata setakat ini tiada masalah sedemikian.

"Kami sentiasa berhubung dengan pesakit, (mengenai) apa yang perlu dilakukan, apa yang tidak boleh dilakukan, jelaskan kepada mereka apa yang harus dilakukan dan mereka adalah sebahagian daripada pasukan dalam mengendalikan Covid-19.

“Ia adalah mesej sama yang kita ingin sampaikan kepada orang ramai; apabila kami datang kepada anda, ia kerana kami mengambil berat terhadap anda. Itulah sebabnya kami ingin membuat ujian saringan terhadap anda agar anda tidak menjangkiti orang yang anda sayangi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan untuk pesakit yang telah pulih daripada Covid-19 adalah untuk memberikan kaunseling sebelum mereka pulang ke rumah, dan memberitahu bahawa jangkitan semula boleh berlaku.

Bagaimanapun, katanya lagi, risiko jangkitan semula adalah rendah kerana pesakit berkemungkinan akan membina antibodi yang cukup bagi melawan virus tersebut.

Noor Hisham juga mendedahkan bahawa pihaknya telah menerima kit ujian baru dari Korea Selatan dan mereka akan menjalankan ujian klinikal tidak lama lagi untuk melihat keberkesanannya.

Beliau berkata perkara yang paling penting sekarang adalah mencari jalan untuk membuat ujian secara tepat dan cepat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS