Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mengenai campur tangan politik dalam bantuan makanan yang diberikan kepada keluarga miskin yang terjejas ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Ini adalah pemakluman berita palsu," kata Jabatan Kebajikan Masyarakat secara ringkas dalam media sosial yang dimaklumkan hari ini merujuk kenyataan Teo.
Jabatan itu turut memuat naik tangkap layar e-mel yang ditulis oleh pegawai kebajikan kepada Teo dengan label 'kenyataan palsu'.
Ia adalah surat Teo yang digunakan sebagai bukti dakwaan campur tangan politik dalam pengagihan bantuan makanan untuk keluarga miskin di kawasan pembangkang.
Semalam, Teo mendakwa hampir 422 keluarga miskin tidak menerima bungkusan bantuan makanan bernilai RM100 yang diberikan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Kira-kira 600 keluarga sejak itu mendapat bantuan, tetapi Teo mendakwa bantuan berkenaan telah ditangguhkan kerana campur tangan politik.
"JKM telah menerima arahan supaya bantuan tersebut diserahkan kepada Presiden MCA Wee Ka Siong untuk diagihkan," kata Teo.
Dalam respons segera, Wee mencabar Teo untuk menunjukkan bukti dakwaan itu.
Tangkay layar e-mel yang bertarikh 9 April itu dimuat naik di laman Facebook Teo hari ini sebagai bukti untuk dakwaan beliau.
Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan nama pengirim emel berkenaan.
Dalam catatan Facebook yang berasingan hari ini, Teo berkata mudah saja untuk membuktikan siapa yang membuat tuduhan palsu.
Kata Teo, setiap kawasan parlimen telah menerima 1,000 bakul makanan yang bernilai RM100 setiap satu, dan pejabatnya telah bekerjasama dengan JKM Kulai untuk mengedarkan bakul makanan kepada 605 penerima antara 5 hingga 8 April.
Teo turut menyertakan gambar-gambar yang menurutnya membuktikan kenyataanya.
"Sepatutnya pembahagian diteruskan sampai kesemua bakul makanan habis diedarkan. Soalan saya, kenapa pembahagian ini tidak diteruskan sehingga 9hb April?" soalnya.
"Terkini, PKP akan dilanjutkan sehingga 28 April.
"Klarifikasi daripada menteri masih lagi saya tunggu sama ada pernah mengeluarkan arahan untuk memberhentikan pembahagian bakul makanan di kawasan pembangkang.
"Akan tetapi, rakyat tidak dapat menunggu lagi. Masih ada banyak lagi keluarga B40 di Kulai yang terdesak untuk mendapatkan bantuan. Bukan esok atau minggu depan. Mereka perlukan bantuan segera," katanya.
Tambah Teo, isu itu bukan sekadar di Kulai tetapi juga melibatkan semua kawasan parlimen pembangkang.
"Apakah arahan kerajaan atau secara khususnya KPWKM kepada JKM untuk pembahagian bantuan?
"Saya amat menghargai usaha murni JKM semenjak PKP dilaksanakan. Saya juga berharap agar tiada sesiapa yang berada di Jabatan atau Kementerian dipersoal kerana bersama membantu pejabat saya memberi bantuan kepada keluarga yang memerlukan.
"Janganlah mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang telah menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Kita tahu, ini bukan insiden pertama penjawat awam dikambing hitamkan semenjak PKP dilaksanakan," katanya.