Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabah benar kilang, ladang sawit di enam daerah beroperasi
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 6:16 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Kerajaan negeri Sabah hari ini memberi kebenaran bersyarat bagi ladang dan kilang kelapa sawit di enam daerah di negeri berkenaan untuk meneruskan operasi.

Perkembangan itu hadir selepas Putrajaya membantu industri kelapa sawit untuk merayu kepada kerajaan negeri menarik larangan sementara yang dikenakan susulan dua kakitangan dalam industri itu diuji positif untuk Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata ladang dan kilang kelapa sawit di Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya ada individu dari ladang dan kilang yang positif untuk Covid-19, kebenaran itu akan dibatalkan.

Beliau berkata kebenaran itu juga akan ditarik balik jika ada kakitangan yang disenaraikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid atau PUI.

Shafie berkata pihak kilang dan ladang juga harus mematuhi garis panduan yang digariskan oleh Jabatan Kesihatan negeri, termasuk mengurangkan tenaga kerja mereka sebanyak 50 peratus.

Beliau berkata keputusan itu akan dikaji semula dari semasa ke semasa.

Bulan lalu, Sabah mengarahkan penutupan ladang dan kilang kelapa di enam daerah selepas dua pekerja di sebuah ladang telah diuji positif untuk Covid-19 selepas pulang dari perhimpunan tabligh yang diadakan di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan Feb.

Pada 31 Mac lalu, Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menyuarakan kebimbangan mengenai penutupan ladang dan kilang kelapa sawit.

Mereka berkata enam daerah berkenaan menyumbang kepada 75 peratus pengeluaran kelapa sawit di Sabah dan hampir 100,000 pekerja terjejas.

Pada 3 April, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata beliau akan membantu kedua-dua persatuan itu merayu kepada kerajaan negeri Sabah.

Di peringkat persekutuan, Putrajaya membenarkan industri kelapa sawit, getah, kayu dan koko untuk beroperasi semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, yang kini dilanjutkan sehingga 28 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS