Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cegah 'mudik' - Indonesia anjak cuti Aidilfitri ke Disember
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 6:12 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Dalam usaha membendung pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia hari ini, kerajaan Indonesi mengumumkan bahawa semua cuti terkumpul Hari Raya Aidil Fitri dibenarkan diambil sehingga bulan Disember.

Ramadan dijadualkan bermula dari 23 April hingga 23 Mei.

Adalah menjadi kelaziman untuk umat Islam, termasuk di Indonesia, khususnya buat mereka yang menghuni di bandar-bandar besar, untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Acara ini disebut sebagai "mudik". Mereka akan berkumpul bersama keluarga semasa cuti panjang menjelang satu Syawal.

Menurut The Jakarta Post / Asia News Network, kira-kira 20 juta orang akan terlibat dalam tradisi tahunan itu, dengan ramai yang dilaporkan sudah meninggalkan ibu kota untuk menuju ke kampung halaman masing-masing di sebalik amaran pakar kesihatan awam.

Walaupun Aidilfitri akan tetap diraikan, Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy telah memindahkan cuti terkumpul hari raya selama empat hari bermula 26 hingga 29 Mei kepada 28 hingga 31 Disember, yang berhampiran dengan cuti akhir tahun lain.

"Kebijakan ini menindaklanjuti arahan presiden dalam ratas antisipasi mudik lebaran pada tanggal 2 April terkait imbauan tidak mudik dan penggantian libur Lebaran 2020," kata Muhadjir dalam satu kenyataan.

Kerajaan juga membenarkan cuti sempena memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul pada 28 Oktober dibawa ke penghujung tahun.

Muhadjir berkata anjakan cuti bersama pada akhir tahun 2020 dengan pertimbangan bahawa pandemik Covid-19 sudah berjaya ditangani ketika itu.

“Selain itu, akhir tahun merupakan masa anak-anak libur sekolah sehingga keluarga dapat memiliki waktu yang cukup untuk merencanakan liburannya,” katanya.

Dua organisasi Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, juga menasihatkan orang supaya tidak pulang ke kampung halaman masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS