Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar kes sembuh Covid-19 kini 42 peratus
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 4:37 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh melepasi jumlah kes baru untuk hari ketiga berturut-turut hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan sejumlah 222 pesakit wabak itu sembuh berbanding 118 kes baru hari ini.

Beliau berkata, jumlah pesakit yang sembuh setakat ini adalah 1,830 orang, atau 42 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,346 kes.

Beliau yakin jika jumlah pesakit sembuh terus melebihi jumlah kes baru dalam dua minggu ini, penularan Covid-19 dapat dibendung.

Bagaimanapun untuk mencapai matlamat itu, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan untuk dua minggu lagi, sehingga 28 April.

Tiga lagi kematian

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tiga lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia pada hari ini.

Ia menjadikan jumlah kematian berkaitan wabak itu kepada 70 kes.

Berikut adalah tiga pesakit yang meninggal dunia:

Pesakit 694 (kematian ke-68)

Lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (pesakit 159).

Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.21 pagi hari ini.

Pesakit 4,229 (kematian ke-69)

Lelaki warga Malaysia berusia 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam empat pagi hari ini.

Pesakit 4,230 (kematian ke-70)

Perempuan warga Malaysia berusia 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (pesakit 1,684)

Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.38 pagi hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan tentang penemuan bedah siasat Institut Perubatan Forensik Negara terhadap mayat seorang pesakit Covid-19 yang menguatkan lagi pandangan kementerian berhubung pengurusan jenazah sebelum ini.

Beliau berkata, bedah siasat itu mendapati virus Covid-19 dikesan di permukaan badan melalui analisis Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Penemuan ini selaras dengan pandangan yang dikemukakan Kementerian Kesihatan dan dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan

Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 15 Mac dan Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac.

"Tatacara tersebut merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS