Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri arah siasat sungai berbuih di kawasan industri Ipoh
Diterbitkan:  Apr 10, 2020 10:37 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan siasatan segera dilakukan berhubung aduan pencemaran sungai di Kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh, Perak.

Bertindak atas maklumat awam yang diterimanya lewat malam tadi, Tuan Ibrahim berkata beliau meminta Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pengarah JAS Negeri Perak mengambil tindakan segera pagi ini.

"Saya telah arahkan KSU, KP JAS dan JAS Perak untuk mengambil tindakan segera. Satu kenyataan rasmi akan dibuat pada pukul 3 petang ini. Insya-Allah," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas di Facebooknya.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas rakaman video yang dikongsikan beliau berhubung pencemaran sebuah sungai di Ipoh, Perak.

Terdahulu Tuan Ibrahim memuat naik satu rakaman video berdurasi 4.08 saat yang dikongsikan orang awam.

Dalam rakaman tersebut memaparkan keadaan sungai diliputi buih berwarna putih dipercayai sisa buangan kimia dari sebuah kilang sarung tangan getah di kawasan terbabit.

Menurut pengadu, ribuan ikan juga mati kesan daripada sikap tidak bertanggunjawab itu.

"Tengok tu (tunjuk ke arah sungai) berbuih-buih, nanti timbullah semua ikan-ikan ni. Beribu-ribu ikan ada dalam sungai ni.

"Saya memang tahu sangat beribu-ribu ikan ada di sini, habis sungai tercemar. beribu-ribu ikan tu semua mati.Masya-Allah.

"Habis, sepanjang sungai warna putih, kadang-kadang warna hijau, kadang-kadang kuning dan kadang-kadang biru," katanya.

Jelas pengadu, pencemaran sungai terbabit telah berlaku sekian lama tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

"Apa yang berlaku ini dah 20 tahun dah, bukan sehari, dua hari. Tak tahulah diorang makan rasuah ke apa sampai tak boleh ambil tindakan. Sakit hati betul, habis semua ikan mati," keluh pengadu.

Kesal dengan apa yang berlaku penggadu berkenaan menggesa pihak kementerian segera menyiasat.

"Saya harap kementerian berkenaan bolehlah ambil tindakan kepada pengusaha kilang ini. Bagi saya dah melampau sangat dah kehidupan-kehidupan yang duduk dekat sini pun. Habis semua mati," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS