Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PKP: Tak semua keluarga Orang Asli dapat bantuan makanan - NGO

Tidak semua keluarga Orang Asli mendapat bantuan makanan meskipun Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memberikan jaminan kerajaan membekalkan makanan kepada masyarakat itu sepanjang tempoh PKP, dakwa NGO Centre for Orang Asli Concerns (COAC).

NGO itu mengulas kenyataan Ismail Sabri hari ini, yang didakwa kumpulan itu bercanggah dengan laporan The Malaysian Insight (TMI) mengenai Jabatan Kemajuan Orang Asli berhadapan kekangan untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat itu di seluruh negara.

Ismail dilaporkan menafikan dakwaan bahawa masyarakat Orang Asli dipinggirkan daripada menerima bantuan bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ismail berkata Jakoa telah melaksanakan agihan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat berkenaan dengan bantuan fasa pertama dari 2 hingga 10 April diagihkan kepada 49,670 ketua isi rumah di 853 buah perkampungan Orang Asli di seluruh negara bernilai RM5 juta.

Menurut Ismail lagi, bantuan fasa kedua akan bermula esok dengan bilangan penerima meningkat kepada 55,000 ketua isi rumah melibatkan peruntukan RM6 juta.

Bagaimanapun, COAC pada hantaran di media sosial berjudul "Siapa kami hendak percaya?" berkata,"sangat jelas bukan semua Orang Asli dapat dicapai."

Hantaran COAC itu juga menyertakan petikan laporan Malaysiakini mengenai jaminan Ismail Sabri dan artikel Malay Mail yang memetik TMI mengenai kekangan yang dihadapi Jakoa dalam menyalurkan bantuan.

"Daripada maklumat yang kami perolehi, jelas bahawa walaupun bantuan itu diberikan oleh kerajaan, tidak semua isi rumah dapat menerimanya. Bukanlah suatu hal yang luar biasa untuk komuniti 30 hingga 50 keluarga mendapat 15 atau 20 set makanan bantuan.

"Semalam, kami diberitahu oleh wakil komuniti di Kampung Ulu Tual, Pahang bahawa Jakoa telah menghantar 65 bungkusan makanan kepada mereka. Tetapi di sana ada 136 keluarga," kata COAC.

NGO itu berkata berdasarkan pengalaman mereka dari kempen Tabung Covid-19 OA (Orang Asli), cara paling berkesan untuk menyalurkan bantuan kepada Orang Asli adalah untuk meyakini komuniti itu sendiri mempunyai daya kepimpinan dan keupayaan untuk mengendalikan bantuan tersebut.

COAC berkata semua keperluan masyarakat datang dari sokongan luar, selalunya dalam bentuk wang tunai, terutama semasa keadaan kewangan meleset sekarang ini.

"Dana itu kemudiannya dipindahkan terus ke akaun penyelaras tempatan. Dia kemudian membeli barang-barang (yang mereka putuskan sendiri) dari kedai atau pasa raya tempatan. 

"Barang-barang itu kemudian diangkut kembali dengan cara mereka sendiri dan diedarkan oleh masyarakat kepada masyarakat.

"Dengan cara ini, tiada siapa pun yang tercicir, tidak kira betapa sedikitnya bantuan makanan itu. Masyarakat sentiasa mengawal proses bantuan. Dan beban keseluruhan proses keseluruhannya tidak dibebani oleh mana-mana individu, kumpulan atau agensi," kata NGO itu lagi.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS