Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP, VIP dapat BPN berdasarkan rekod cukai - LHDN
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 6:26 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati sistem kelayakan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berada dalam keadaan baik walaupun terdapat aduan beberapa wakil rakyat dan orang kenamaan (VIP) yang tidak layak mendapati mereka "lulus" bantuan kewangan kerajaan itu.

"Semakan awal LHDN mendapati bahawa proses penentuan penerima BPN adalah teratur dan mereka yang diluluskan mempunyai tahap pendapatan bercukai di dalam julat pendapatan yang layak menerima BPN.

"Penentuan penerima BPN dibuat dengan memadankan kriteria pendapatan BPN dengan data percukaian terkini di LHDNM berdasarkan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan mengikut kategori...

"Merujuk isu beberapa ahli parlimen dan orang kenamaan turut layak dan menerima BPN, perlu dijelaskan bahawa kelulusan dibuat secara automatik berdasarkan data taksiran pendapatan individu tersebut pada tahun 2018 dalam rekod LHDNM," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ini berikutan laporan bekas isteri PM Najib Razak, Rosmah Mansor yang pada mulanya "lulus" bantuan BPN sebanyak RM800, sebelum semakan selanjutnya pula menunjukkan beliau tidak layak.

Kemudian, beberapa MP pula mengakui mereka juga mendapat BPN.

Anggota parlimen ini mahu sistem tersebut diperbaiki dan bimbang jika peruntukan tidak disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak.

Bagaimanapun, LHDN hari ini berkata pihaknya,"menerima baik ahli parlimen yang secara sukarela telah memulangkan bayaran BPN tersebut."

Sekiranya mana-mana MP atau penerima BPN lain yang ingin memulangkan semula bayaran BPN tersebut, jelas LHDN lagi, penerima boleh berbuat demikian mengikut prosedur berikut:

"Pertama, mengemukakan surat penolakan dengan menyatakan nama penuh dan nombor MyKad.

"Kedua, lampirkan draf bank/ cek atas nama Akauntan Negara Malaysia (mengikut jumlah pemulangan); dan ketiga, dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan Malaysia."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS