Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lanjutan PKP: Dr Noor Hisham maklumkan kepada PM esok

KORONAVIRUS l Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah akan memberi penjelasan ringkas kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai status pandemik Covid-19 di negara, esok pagi.

"Esok Perdana Menteri ( Muhyiddin Yassin) akan buat pengumuman (mengenai sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya),” katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini ketika diajukan soalan itu.

Semasa taklimat Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata, satu mesyuarat bagi meneliti unjuran perkembangan kes Covid-19 akan diadakan pada jam 6 petang ini.

Katanya, perbincangan itu akan turut membabitkan pelbagai agensi lain seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), selain pakar statistik dan epidemiologi.

“Kita nak lihat unjuran bersandarkan model perkiraan semasa, apa senario yang mungkin berlaku dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Kita akan buat unjuran sama ada bakal wujud peningkatan (kes baru Covid-19) atau tidak, tetapi perkembangan semasa seperti hari ini menunjukkan angka positif antara yang rendah.

“Oleh itu, seperti yang saya sebut sebelum ini, kita ada peluang tipis untuk perbetulkan keadaan, jadi pendekatan kawalan sewajarnya harus dilaksanakan,” katanya.

PKP yang pada asalnya dirancang bermula 18 Mac hingga 31 Mac. Namun ini kemudiannya dilanjutkan hingga 14 April.

Data terperinci untuk gambaran lebih baik

Antara yang akan dipertimbangkan oleh Noor Hisham ialah bilangan zon selamat dan bahaya di negara ini.

Beliau berkata zon itu ditentukan berdasarkan data peringkat negeri, daerah dan mukim.

Kementerian sedang memantau bilangan kes baru yang direkodkan dalam bidang ini dalam tempoh dua minggu lalu berbanding melihat kes kumulatif.

Dengan melihat data yang lebih terperinci, beliau menjelaskan bahawa kementerian dapat menilai status wabak tersebut dengan lebih baik.

“Sekarang ini apa kita laksanakan kita ambil tempoh dua minggu. Kalau dua minggu tak ada kes baru di kawasan tersebut, negeri daerah ataupun mukim, jadi mungkin kita dapat satu gambaran yang lebih tepat kawasan tersebut sama ada hijau atau merah

“Kita tengah laksanakan kajian dan juga taburan kes-kes yang hijau, merah, jingga, di peringkat mukim,” katanya.

Kawasan-kawasan dikategorikan berdasarkan kod warna mengikut bilangan kes yang direkodkan.

Zon merah bermakna kawasan telah mencatatkan 41 atau lebih kes. Zon jingga mempunyai antara 20 hingga 40 kes. Zon kuning mempunyai antara 1 hingga 19 kes, manakala zon hijau pula mempunyai sifar kes.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS