Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSB nafi tawar duit kepada Baru Bian lompat parti
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 4:50 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyangkal laporan Sarawak Report bahawa parti itu telah menawarkan ganjaran kewangan kepada mantan menteri kerja Baru Bian untuk menyertainya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, PSB menolak laporan portal itu bahawa bekas pengerusi PKR Sarawak Baru dan beberapa yang lain didorong oleh wang untuk menjadi ahli parti.

"Laporan ini benar-benar palsu kerana PSB tidak pernah menawarkan kepada Baru apa-apa ganjaran, kewangan atau sebaliknya, untuk menyertai PSB.

"Kepalsuan jahat seperti itu bukan sekadar fitnah terhadap PSB tetapi juga merupakan pembunuhan watak Baru, seorang lelaki dengan prinsip yang lebih suka melepaskan jawatannya sebagai menteri kerja daripada menyokong atau menyertai kerajaan yang tidak dipilih.

"Orang-orang yang menerbitkan artikel fitnah itu tidak melakukan apa-apa usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada PSB sebelum membuat tuduhan jahat," kata sekretariat PSB.

Sekretariat parti berkata tuduhan itu direka oleh pihak tertentu yang tidak senang dengan populariti PSB yang semakin meningkat sebagai parti politik bebas berbilang kaum yang berpusat di negeri ini.

"Tidak ragu lagi, (dakwaan itu) dirancang oleh pihak-pihak yang kini ketakutan dengan peningkatan populariti PSB sebagai parti politik berbilang kaum yang berpangkalan di Sarawak, terutamanya sejak parti pemerintah di Sarawak, GPS memainkan peranan penting dalam menaikkan Umno dan PAS sebagai kerajaan di Putrajaya meskipun mereka kalah dalam pilihan raya umum lepas.

"PSB yakin rakyat Sarawak cukup pintar dan cukup matang untuk tidak terikut dengan penipuan berniat jahat ini," kata sekretariat PSB itu.

Dalam laporan eksklusif di portalnya semalam, Sarawak Report mendakwa bahawa banyak sumber memaklumkan bahawa Baru dan penyokongnya akan menyertai PSB, sebuah parti yang didakwa portal itu dibiayai oleh keluarga saudagar perniagaan balak di Sarawak.

Antara dakwaan lain, portal itu juga mendakwa bahawa PSB adalah 'kenderaan' untuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak Taib Mahmud berkuasa semula secara  aktif di negeri itu.

Setakat ini, difahamkan bahawa Baru enggan memberi komen mengenai isu PSB itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS