Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Ramai berpusu-pusu ke bank sebab itu banyak kenderaan’
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 4:23 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

KORONAVIRUS l Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan kenderaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini mungkin berlaku untuk sementara waktu saja.

Kata Ismail yang merupakan menteri kanan yang menyelaraskan PKP, peningkatan itu mungkin disebabkan orang ramai keluar untuk mengeluarkan wang bantuan tunai pemberian kerajaan di Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Dari segi kehadiran kenderaan yang banyak di jalan raya, seperti saya katakan, bahawa bantuan kerajaan - Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah dikeluarkan, jadi sebab itulah kita lihat ramai yang berpusus-pusu ke BSN untuk mengeluarkan wang.

“Jadi saya percaya ini adalah sementara, dan kita dapat lihat dari segi tangkapan pihak polis semalam sudah pun berkurangan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Beliau seterusnya memohon kepada semua rakyat yang ke bank agar tetap mematuhi penjarakan sosial khususnya ketika beratur untuk mengeluarkan wang.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya semasa PKP.

Katanya, jika perkara itu berterusan, usaha membendung penularan Covid-19 dikhuatiri menjadi sia-sia.

Bagaimanapun, kata Ismail, bilangan orang yang keluar daripada rumah masing-masing tampaknya sudah menunjukkan penurunan.

Menurut beliau, setakat semalam, bilangan tangkapan terhadap orang ramai yang ingkar PKP telah berkurangan sebanyak 34 peratus.

“Dua hari lepas, mula-mula menurun kemudian meningkat kembali kerana ramai keluar pergi ke bank, misalnya BSN, untuk tuntut bantuan yang diberikan kerajaan. Kita harapkan ia sementera.

“Semalam dah tunjukkan penurunan tinggi 34 peratus, dan harapnya selepas ini akan terus menurun,” katanya lagi.

Malaysia menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.

PKP yang pada awalnya dijadual tamat pada 31 Mac, dilanjutkan sehingga 14 April.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan tidak penting diarahkan menutup operasi manakala rakyat hanya boleh keluar rumah untuk tujuan-tujuan tertentu yang dibenarkan sahaja.

Pelawat dari negara luar juga tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, manakala rakyat di negara ini tidak dibenarkan ke luar negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS