Ahli-ahli politik dan persatuan pelajar tampil mengkritik penganjuran pertandingan video pendek TikTok oleh Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad.
Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Farhan Rosli meluahkan rasa kesal dan kecewa.
Beliau menyifatkan kementerian seperti “mati akal” mengusahakan aktiviti bermanfaat bagi mengisi masa lapang mahasiswa semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Farhan berpandangan KPT wajar menggalakkan aktiviti lebih bermanfaat seperti membaca, menulis, menganalisis, bukannya menyebarkan budaya hedonisme.
“PKPIM juga berharap pihak KPT agar bersiap sedia menghadapi implikasi selepas wabak ini selesai.
“Implikasi ini terkait permasalahan kesihatan mental akibat berlakunya proses pembatasan sosial yang lama dan masalah pengangguran dan kebolehpasaran graduan kerana ketidakstabilan ekonomi yang dijangka melanda dunia yang bakal menyebabkan peluang pekerjaan merosot akibat daripada pandemik ini,” katanya lagi.
Semalam, Noraini memuat naik hantaran poster dan video pertandingan TikTok di media sosialnya, yang terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 26 tahun, dari semalam hingga 14 April.
Ia bagaimanapun mendapat kritikan pengguna maya yang menyifatkan perkara itu tidak harus menjadi keutamaan di kala mahasiswa berdepan pelbagai masalah sepanjang tempoh PKP, malah tidak kena masa dengan malam Nisfu Syaaban.
Bagaimanapun, berdasarkan carian pagi ini, hantaran mempromosi pertandingan TikTok yang turut menampilkan dua personaliti media sosial, Norreen Iman dan Iskandar Rahman, tidak lagi ditemui.
Malaysiakini sudah menghubungi Noraini dan pegawainya dan sedang menunggu penjelasan mereka. Setakat ini tidak jelas kenapa hantaran pertandingan TikTok itu diturunkan dan sama ada pertandingan itu dibatalkan.
Tak masuk akal - Sheikh Umar
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali meluahkan rasa terkejut atas penganjuran pertandingan itu.
Katanya, meskipun tidak menyalahkan mana-mana mahasiswa atau anak muda yang berminat dengan aplikasi itu yang hanya medium hiburan, namun penganjuran pertandingan di media sosial Noraini semalam disifatkannya sebagai “tidak masuk akal” dan “memalukan”.
“Inisiatif menteri pengajian tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad yang mengumumkan penganjuran 'TikTok Contest' semalam adalah tidak masuk akal.
“Saya agak terkejut. Di malam Nisfu Sya'ban, menteri pengajian tinggi isytiharkan untuk mahasiswa ber-Tiktok pula!
“[...] Apabila Noraini atas kapasiti seorang menteri yang menerajui Kementerian Pengajian Tinggi memilih untuk mengajak mahasiswa ber-TtikTok, bagi saya ini tidak cocok sama sekali. Ini amat memalukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sedangkan, kata Ketua Pemuda DAP Johor itu lagi, masih terdapat pelbagai isu melibatkan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang perlu diberikan perhatian dalam tempoh penularan wabak Covid-19.
Antaranya, isu jadual pengajian yang terganggu, survival makan dan minum di kolej kediaman, sistem pengajian dalam talian, serta polisi-polisi bagi membela nasib mahasiswa dalam fasa PKP seperti program foodbank mahasiswa dan medium pengajian dalam talian lebih bersepadu.
‘Lebih baik pertandingan tulis cerpen’
Pandangan senada dikongsikan setiausaha pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Firdaus Hamdan yang turut menyifatkan penganjuran pertandingan itu sebagai “memalukan”.
“Adakah serendah itu pemikiran seorang menteri? Adakah tidak ada pertandingan lain yang boleh dianjurkan oleh kementerian? Apakah kementerian berbangga dengan usaha menarik minat anak muda dengan TitTok?” soalnya.
Usulnya, dalam tempoh PKP, masa generasi muda perlu diisi dengan perkara lebih bermanfaat, seperti pertandingan menulis cerpen, novel, puisi, atau rencana Covid-19, menghasilkan poster, video Covid-19, atau lirik lagi raya, lagu puasa, lagu kemerdekaan, pertandingan reka cipta dan menghasilkan kit bantuan Covid-19, serta banyak lagi.
“Saya mencadangkan agar menteri menarik semula dan membatalkan pertandingan yang memalukan itu. Bahkan bukan hanya membatalkan pertandingan tersebut tetapi mengharamkan terus aplikasi TikTok yang semakin menghancurkan anak muda,” katanya.