Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Setengah bilion orang akan terheret ke kancah kemiskinan’

KORONAVIRUS l Kesan penularan koronavirus yang telah membunuh lebih 83,000 orang dan menjejaskan ekonomi di seluruh dunia boleh mengheret kira-kira setengah bilion lagi ke kancah kemiskinan, kata Oxfam pada Khamis.

Laporan oleh badan amal antarabangsa yang berpangkalan di Nairobi itu dikeluarkan menjelang mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) / Bank Dunia minggu depan yang menganggarkan kesan krisis terhadap kemiskinan global akibat pengecutan pendapatan atau pengurangan penggunaan isi rumah.

"Krisis ekonomi kali ini lebih teruk daripada krisis kewangan global 2008," kata laporan itu.

"Anggaran menunjukkan bahawa, tanpa mengira senario, kemiskinan global akan meningkat buat kali pertama sejak tahun 1990," katanya, sambil menambah bahawa ini boleh mengheret sesetengah negara kembali ke tahap kemiskinan yang terakhir dilihat beberapa dekad lalu.

Penulis laporan itu mengambil kira beberapa senario, termasuk pelbagai garis kemiskinan Bank Dunia - dari kemiskinan melampau, ditakrifkan sebagai hidup bersaeakan wang AS $1.90 (RM8.25) sehari atau kurang daripada itu, sehingga garis kemiskinan yang lebih tinggi iaitu di bawah AS$5.50 sehari.

Di bawah senario paling serius - penguncupan 20 peratus dalam pendapatan - bilangan orang yang hidup dalam kemiskinan melampau akan meningkat sebanyak 434 juta orang kepada 922 juta di seluruh dunia. Senario yang sama akan melihat jumlah mereka yang hidup berdasarkan wang di bawah AS$5.50 sehari meningkat sebanyak 548 juta orang kepada hampir 4 bilion.

Wanita lebih berisiko berbanding lelaki, kerana mereka cenderung untuk bekerja dalam ekonomi tidak formal dengan sedikit atau langsung tidak ada hak pekerjaan.

"Ibarat kais pagi, makan pagi, golongan termiskin ini tidak mempunyai keupayaan untuk meluangkan masa untuk berehat, atau untuk menyimpan barangan," kata laporan itu sambil menambah bahawa lebih 2 bilion pekerja sektor tidak rasmi di seluruh dunia tidak mempunyai akses untuk mendapat cuti sakit.

Bank Dunia minggu lalu berkata kemiskinan di Asia Timur dan rantau Pasifik sahaja akan meningkat sebanyak 11 juta orang jika keadaan bertambah buruk.

Untuk membantu mengurangkan impak, Oxfam mencadangkan pelan tindakan enam perkara yang akan menyampaikan bantuan tunai dan kewangan kepada mereka dan perniagaan yang memerlukan.

Ia juga memohon agar hutang dilupuskan dan lebih banyak sokongan IMF, dan peningkatan bantuan. Cukai ke atas golongan kaya, keuntungan luar biasa, dan produk kewangan spekulatif akan membantu meningkatkan dana yang diperlukan, kata Oxfam.

Desakan agar hutang dilupuskan semakin lantang dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan penularan pandemik Covid-19 yang meranapkan ekonomi negara-negara membangun di seluruh dunia.

Secara keseluruhannya, kerajaan di seluruh dunia perlu memobilasasi sekurang-kurangnya AS$2.5 trilion untuk menyokong negara-negara membangun.

"Negara-negara kaya telah menunjukkan bahawa pada masa krisis ini mereka mampu memobilisasi trilion dolar untuk menyokong ekonomi mereka sendiri," kata laporan itu.

"Kecuali melainkan jika negara-negara membangun juga dapat melawan kesan kesihatan dan ekonomi, krisis ini akan berterusan dan ia akan mendatangkan bahaya yang lebih besar ke atas semua negara, kaya dan miskin."

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS