Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok mengambil semua langkah perlu dalam usahanya untuk memastikan Orang Utan di situ diberi makan secukupnya dan sihat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pasukan penjaganya, dikurangkan separuh sepanjang tempoh PKP daripada jumlah asal sebanyak 50, kekal komited menjalankan tugas sukar itu bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan lebih 40 Orang Utan.
“Orang Utan berkenaan dijaga oleh pegawai veterinar dan penjaga yang berdedikasi di pusat ini. Jumlah staf telah dikurangkan, apa yang saya dapat katakan jumlah kerja masih sama.” kata Sylvia Alsisto, pengurus pusat itu.
Di samping menjaga beruk besar itu, staf juga perlu memastikan semua haiwan itu tidak dijangkiti Covid-19 ketika pandemik itu merebak ke seluruh dunia.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pusat itu ditutup kepada pelawat sepanjang tempoh PKP.
Alsisto berkata pasukan yang bertugas semasa penutupan pusat itu dibahagikan kepada dua kumpulan dan bergilir menjalankan tugas harian, pada waktu siang dan malam, manakala setiap daripada dua pegawai veterinar di pusat itu bekerja secara giliran hari.
Beliau berkata Orang Utan adalah omnivor dan diberi makan lebih 300 spesies tumbuhan, buah-buahan hutan, kulit kayu dan serangga.
Di Sepilok, bagaimanapun, haiwan itu diberikan makanan terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan.
“Kami mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk Orang Utan, kecuali buah-buahan tempatan seperti betik dan jambu batu kerana bekalan kami dibawa dari sejauh Lahad Datu dan terdapat sekatan perjalanan antara daerah semasa PKP.
“Namun, kami masih dapat mencari sumber atau mendapatkan makanan daripada pembekal di Sandakan, dan Sepilok sudah membuat tempahan tiga bulan lebih awal bagi bekalan susu,” katanya.
Alsisto berkata Orang Utan diberikan makanan berkualiti, vitamin dan suplemen dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala dan ujian darah turut dilakukan bagi memastikan ia berada dalam keadaan sihat.
Beliau berkata pusat itu amat mementingkan aspek kebersihan, yang telah diamalkan malah sebelum PKP dikuatkuasakan, memperuntukkan bajet besar bagi membeli pembasmi kuman berkualiti untuk proses sanitasi termasuk cecair pembasmi kuman untuk mencuci tangan.
“Sepilok mula melaksanakan penggunaan alat pelindung diri (PPE) pada 2012, iaitu kami memastikan kaki pelawat dan tayar (kenderaan) dibersihkan serta cecair pembasmi kuman untuk pelawat mencuci tangan mereka sebelum masuk ke pusat ini.
“Semua staf, pelatih, sukarelawan, kontraktor, kru filem dan jurugambar perlu mengemukakan status kesihatan untuk menjalankan kerja kami di pusat ini,” katanya.
Sebaik sahaja berlakunya pandemik Covid-19, Alsisto berkata pusat itu segera mengambil inisiatif menjalankan sanitasi di semua fasiliti pelancongnya dan mula memberikan penutup mulut dan hidung kepada pelawat.
“Berhubung PPE, adalah penting untuk menekankan bagaimana Sepilok amat mengutamakan kebajikan Orang Utan dan pada masa yang sama memastikan eko-pelancongan terus berkembang maju.
“Saya harap ini memberi penjelasan kepada pihak yang mengkritik kami tentang cara kami melaksanakan tugas kami di pusat ini, untuk menunjukkan bahawa kami amat mengutamakan kebajikan Orang Utan kerana haiwan ini adalah duta kami bagi pemuliharaan,” tegas beliau.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Orangutan Appeal UK (OAUK) Datuk Susan Sheward memuji staf di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok atas dedikasi mereka dalam memberikan penjagaan terbaik terhadap Orang Utan di pusat itu, khususnya yang yatim piatu, pada waktu sukar ini.
Beliau berkata seorang penyelia daripada OAUK ditempatkan di pusat itu untuk membantu staf di situ memastikan kehidupan berjalan seperti biasa bagi Orang Utan.
“Kami akan lakukan apa yang kami mampu untuk memastikan anak Orang Utan yang yatim piatu dapat meneruskan pembelajaran dan pemulihan dan menerima penjagaan yang terbaik,” katanya.
Pusat itu dimiliki dan dikendalikan kerajaan negeri Sabah menerusi Jabatan Hidupan Liar Sabah yang menerima peruntukan kewangan secara berterusan.
Ia turut menerima dana tambahan daripada bayaran masuk ke pusat itu dan pertubuhan bukan kerajaan seperti OAUK untuk menambah baik peralatan dan kemudahan di pusat itu.
Pusat itu juga memperuntukkan sebahagian daripada RM15 juta peruntukan tahun ini yang menurut Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan Pelan Tindakan Orang Utan Sabah 2020-2030, yang merangkumi kajian mengenai populasi Orang Utan, penguatkuasaan dan pelbagai program kesedaran.
Ancaman utama bagi Orang Utan, yang diisytiharkan sebagai spesies terancam pada tahap kritikal, adalah penebangan hutan.
- Bernama