Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes haiwan dijangkiti Covid-19 rendah, tak perlu panik - Veterinar

Beberapa doktor veterinar meminta orang ramai tidak panik susulan laporan media antarabangsamengenai seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York yang disahkan positif Covid-19.

Menurut doktor haiwan, Afiq Sazwan Ab Aziz, beliau menyifatkan kes jangkitan Covid-19 terhadap haiwan boleh dikatakan masih rendah kerana sehingga kini hanya beberapa haiwan yang terkesan.

Jelasnya, merujuk kepada hasil kajian di Wuhan, China tentang penularan wabak tersebut ke atas haiwan, peratusnya hanya 14.7 peratus yang dianggap Afiq masih rendah.

Bagaimanapun, beliau menasihati agar pemilik haiwan tetap menjaga kebersihan diri dan haiwan peliharaan.

“Kita masih belum ada maklumat atau kajian saintifik terhadap Covid-19 pada haiwan. Setakat ini hanya dilaporkan beberapa ekor anjing dan kucing dan terbaru harimau dan ini masih dianggap kes terpencil dan masih rendah.

“[…] tetapi atas nasihat OIE (Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia), kita ambil langkah berjaga-jaga yang disarankan contohnya jaga kebersihan dan kebajikan haiwan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Afiq, sekiranya pemilik haiwan mendapati kucing mereka sakit, segera bawa ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, kata Afiq, setakat ini tiada pemeriksaan kesihatan Covid-19 akan dibuat terhadap haiwan tersebut.

“Kita (pemilik haiwan) tidak perlu risau, kalau kucing sakit boleh hantar ke klinik veterinar dan jabatan perkidmatan veterinar kata tidak perlu membuat saringan Covid-19 pada kucing.

“Tidak perlu juga kuarantin kucing, cuma dinasihatkan untuk pastikan haiwan peliharaan duduk dalam rumah,” katanya yang sudah berkhidmat di klinik haiwan swasta di Johor selama enam tahun.

Pada 6 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai termasuk pencinta haiwan agar sentiasa menjaga kebersihan dan mencuci tangan termasuk sebelum dan selepas mengendalikan peliharaan masing-masing.

Malah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengeluarkan kenyataan beberapa hari lalu menjelaskan haiwan peliharaan bukan penyebar virus Covid-19 dan menggesa masyarakat supaya tidak terlalu bimbang dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

Senada dengan Afiq, seorang doktor haiwan Dr Ding Chee Min turut menyifatkan peratus haiwan untuk diancam wabak tersebut adalah rendah.

Bagaimanapun, beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai veterinar, meluahkan rasa bimbang sekiranya berlaku peningkatan terhadap kes jangkitan Covid-19 ke atas haiwan.

Ini kerana, menuruttnya, keadaan hospital haiwan kecil untuk menampung sekiranya haiwan turut diarahkan menjalani kuarantin, selain kekangan pakar veterinar di negara.

“Untuk penyediaan pusat kuarantin kepada haiwan, ia terletak kepada (arahan) Jabatan Perkhidmatan Veterinan tetapi sesetengah klinik atau hospital haiwan sangat kecil dan untuk dijadikan pusat kuarantin mungkin sukar. Apa-apa pun kita tunggu arahan Jabatan  Perkhidmatan Veterinar.

“Kekangan doktor haiwan juga mungkin bakal jadi satu isu sekiranya kes Covid-19 melibatkan haiwan meningkat. Tetapi bila masa itu sampai, para doktor akan hulurkan bantuan untuk merawat kesemua haiwan yang terdedah Covid-19,” katanya lagi.

Untuk rekod, terdapat juga laporan kucing dan anjing diuji positif Covid-19 di Hong Kong dan Belgium.

Bagaimanapun, OIE menjelaskan bahawa siasatan terhadap jangkitan dan penyebaran wabak tersebut terhadap haiwan masih dalam proses penelitian khusus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS