Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Individu kuarantin hotel tak dibenarkan guna khidmat penghantar makanan

Hotel yang disenaraikan kerajaan sebagai pusat kuarantin Covid-19 sementara telah mula mengenakan sekatan ke atas barang-barang yang boleh dihantar kepada individu yang menjalani kuarantin di premis mereka.

Semakan dengan beberapa hotel di Lembah Klang memberi jawapan serupa, bahawa perintah sekatan itu dikenakan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, senarai barangan yang dibenarkan berbeza antara satu hotel dengan hotel yang lain, dengan sekurang-kurangnya dua hotel tidak membenarkan tetamu daripada memesan makanan dari luar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.

Malaysiakini dihubungi oleh salah seorang rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara yang ditempatkan di sebuah hotel di Bandar Sunway, yang mengatakan bahawa tetamu hotel itu diberitahu pagi ini bahawa perkhidmatan penghantaran makanan tidak lagi dibenarkan bermula hari ini.

"Sehingga 2 petang hari ini, kami tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti GrabFood di sini.

"Ia diumumkan oleh hotel pagi ini," katanya.

Dia juga berkongsi gambar notis yang dipaparkan pihak hotel di premis berkenaan, yang menyenaraikan barang-barang yang tidak dibenarkan dihantar kepada individu dalam kuarantin.

Dia berkata imej itu dihantar oleh seorang saudaranya yang datang ke hotel itu untuk menghantar susu dan roti.

Antara barangan yang disenaraikan tidak dibenarkan dihantar ialah mi segera, makanan yang dimasak (panas dan sejuk), minuman berkarbonat, kerepek berperisa, minuman air bancuh, 'jeruk dan asam', buah-buahan, sayuran dan telur.

Minuman beralkohol, rokok dan jus vape, serta pisau dan 'benda tajam' juga dilarang.

Berikutan itu, Malaysiakini menghubungi hotel untuk pengesahan dan mendapatkan ulasan.

"Arahan sekatan ini datang dari pihak berkuasa, ia adalah dari Kementerian Kesihatan," kata salah seorang pekerja hotel, yang hanya mahu dikenali sebagai Florina.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama hotel itu sementara menunggu ulasan daripada pihak pengurusan.

Hotel lain yang terletak di Petaling Jaya juga melarang penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan bagi mereka yang dikuarantin.

Bagaimanapun, sekatan itu hanya meliputi makanan yang dimasak dan makanan basah seperti daging dan ikan.

Seorang kakitangan hotel yang menerima panggilan Malaysiakini berkata mereka membenarkan barangan makanan kering seperti kerepek dan mi segera.

"Barang makanan basah kita tidak dibenarkan untuk terima. Pihak berkuasa yang melarang.

"Makanan basah seperti daging, ikan ... Ia tidak dibenarkan untuk mengelakkan menghalang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya," kata pekerja wanita itu.

Dia juga mengesahkan bahawa perkhidmatan penghantaran makanan tidak dibenarkan untuk menghantar makanan kepada para tetamu hotel mereka yang dikuarantin.

Sementara itu, sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Kuala Lumpur berkata barangan yang dilarang hanya terhad kepada barangan seludup dan minuman beralkohol, serta produk tembakau.

"Tidak ada sekatan ke atas penghantaran makanan. Para tetamu boleh memesan makanan dari luar, tetapi mereka perlu melalui pegawai Jabatan Pertahanan Awam di sini, yang akan menghantar makanan ke bilik.

"Tetapi ada waktu tertentu untuk mereka pesan makanan untuk dihantar ke hotel," kata seorang kakitangan hotel itu.

Ketika ditanya tentang sekatan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peranan Kementerian Kesihatan hanya memberi nasihat mengenai keselamatan dan kesihatan.

Bagaimanapun, penguatkuasaan itu terletak di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma).

"Dari segi kesihatan, ia dari KKM. Kami sedang meneliti semua isu berkaitan dengan keselamatan.

"Jadi kami akan memberi nasihat keselamatan dan nasihat kesihatan, tetapi selain itu - dari segi apa yang boleh mereka lakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan - ikuti NSC dan Nadma," kata Noor Hisham semasa sidang akhbar di Putrajaya hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS