Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Papagomo gesa LPPSA tak 'bersikap kejam' pada penjawat awam
Diterbitkan:  Apr 8, 2020 7:31 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Exco pemuda Umno menyarankan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tidak bersikap kejam terhadap penjawat awam berhubung tiada penangguhan ansuran bulanan kepada peminjam.

Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo menyifatkan alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah gambaran yang tidak menyeluruh dan terpesong.

“Alasan yang diutarakan LPPSA ialah, penjawat awam dan pesara menerima gaji dan elaun penuh.

“Alasan tersebut seolah-olah penjawat awam tidak terkesan dengan wabak Covid-19.

“Seolah-olah penjawat awam boleh bermewah-mewah, tidak seperti golongan lain khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, LPPSA memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan memandangkan kebajikan penjawat awam terjaga dan bagi memastikan kelangsungan serta sumber kewangannya kekal.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya peminjam LPPSA turut ditawarkan moratorium bagi mengurangkan beban penjawat awam.

Papagomo juga berkata LPPSA juga perlu mempertimbangkan faedah berangkai jika penangguhan dapat dilaksanakan.

“Ada banyak keluarga yang ketika ini dalam kesukaran, terpaksa bergantung harap kepada anak-beranak, adik-beradik atau saudara mara yang merupakan penjawat awam.

“Keluarga mereka perlu dibantu dan beban terletak kepada penjawat awam kerana mereka mempunyai pendapatan tetap pada waktu ini.

“Apalah salahnya jika tangguhkan bayaran balik pinjaman? Kalau tidak enam bulan, tiga bulan penangguhan juga boleh memberikan kelegaan dan memberikan nafas kepada kakitangan kerajaan ini,” katanya.

LPPSA merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS