Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah lepaskan dua lelaki ingkar PKP dari penjara
Diterbitkan:  Apr 8, 2020 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Chin Chee Wei dan Chong Poh Wah, yang dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan atas alasan tidak mampu membayar denda susulan kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), kini akan menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama tiga bulan.

Dalam mengurangkan hukuman mereka, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Taiping K Muniandy mengarahkan mereka menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama empat jam setiap hari selepas PKP berakhir.

"Ini adalah peringatan kepada orang ramai supaya tidak melanggar perintah itu. Biarkan ini menjadi pengajaran kepada semua," katanya, menurut Star Online.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa kedua-dua mereka Chin, 45 dan Chong, 56, ditahan semasa sekatan jalan raya apabila mereka menaiki motosikal dengan membawa batang pancing.

Mereka yang berasal dari Sungai Siput, Perak itu memberitahu mahkamah bahawa mereka lazimnya mendapat upah harian sebanyak RM100 tetapi tidak dapat bekerja dengan pelaksanaan PKP.

Justeru, tujuan mereka keluar memancing adalah untuk mendapatkan ikan sebagai lauk dan mereka tidak mempunyai niat untuk menjual ikan berkenaan.

Kes mereka dibawa ke Mahkamah Tinggi Taiping selepas peguam Biro Bantuan Guaman, Balakrishna Balaravi Pillai, yang mewakili mereka mengajukan permohonan untuk merayu semula keputusan itu.

Katanya, ini adalah kesalahan kali pertama kedua-dua lelaki itu dan mereka tidak mempunyai wang mahupun sebarang simpanan, dan oleh itu terpaksa keluar memancing untuk mencari makanan.

"Chin mempunyai dua anak yang bersekolah dan seorang isteri untuk diberi makan manakala Chong adalah pencari nafkah tunggal keluarganya.

"Kedua-duanya adalah buruh yang melakukan kerja-kerja yang tidak tetap di Sungai Siput, mereka bukannya memancing untuk membuat duit," katanya.

Mahkamah Tinggi Taiping juga memerintahkan Chin dan Chong untuk melaporkan diri di balai polis daerah Sungai Siput pada setiap Isnin sepanjang tempoh PKP.

Sebelum ini, Balakrishna juga menafikan dakwaan bahawa mereka memilih untuk masuk penjara.

PKP telah dilaksanakan untuk membendung penyebaran virus Covid-19. Ia dijadualkan berakhir pada 31 Mac tetapi dilanjutkan sehingga 14 April.

Dalam tempoh itu, kerajaan mengumumkan bahawa hanya perniagaan dan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS