KORONAVIRUS | Seorang pemimpin Pemuda PAS Selangor sedang dikuarantin dan dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas disahkan positif Covid-19.
Mohamad Zuhdi Mat Piah sebelum itu berkunjung ke Turki pada pertengahan Mac lalu untuk urusan kerja dan memuat naik beberapa gambar serta video berkaitan kunjungan berkenaan.
Dia yang juga bendahari Pemuda PAS Selangor turut sempat mempelawa orang ramai untuk menyertai kunjungan berikutnya yang dipercayai dirancang pada Mac tahun depan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Mohamad Zuhdi berkata dia dimasukkan ke hospital terbabit sejak tiga hari lalu iaitu pada hari ke-14 menjalani kuarantin sendiri.
Berdasarkan kepada hantaran dimuat naik di media sosial, Mohamad Zuhdi berkata, sepatutnya sehari dua lagi - ketika itu - dia akan bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.
Katanya berlaku kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid-19 sewaktu dalam penerbangan pulang dari Turki. Pada masa sama dia berkata tiada sebarang gejala dialami selepas pulang dari luar negara.
“Saya baru balik dari Turki atas urusan kerja. Saya ada agensi pelancongan.
“Bila balik saya kuarantin diri tetapi selepas tahu ada yang positif (Covid-19) dalam penerbangan pulang dari Turki hari itu, saya buat saringan dan mendapati saya positif juga," katanya.
Tak mahu terima sumbangan
Ketika ini kata Mohamad Zuhdi dia berasa sihat dan dimasukkan dalam wad "paling stabil".
"Rasanya dalam dua tiga hari sudah boleh keluar wad,” katanya.
Terdahulu tular dalam media sosial mengenai hantaran dimuat naik Mohamad Zuhdi semasa percutian berkenaan serta langkah Pemuda PAS Selangor membuka tabung derma untuknya.
"Derma kilat buat Ustaz Zuhdi Mat Piah, Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor yang positif Covid-19 dan akan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh," tulis hebahan tersebut.
Ia juga mengundang orang ramai bertanya kewajaran PAS terus menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menyekat kemasukan warga China semasa peringkat awal Covid-19 dulu.
Pengkritik berkata, sekarang ternyata orang PAS sendiri membawa Covid-19 ke dalam masyarakat di negara ini.
Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan rekod jumlah keseluruhan positif wabak tersebut sehingga 3,963 kes dengan 63 kematian.
Ditanya berhubung kenyataannya yang menyifatkan virus korona "takut" kepada salji seperti dimuat naik Mohamad Zuhdi dalam hantarannya mengenai percutian berkenaan, dia berkata, ia adalah sekadar gurauan saja.
"Lunch dulu lah... pasni nak main salji pulak... orang tua2 kata corona virus takut salji... ok jalan dulu... sapa nak ikut?" tulisnya pada 15 Mac lalu.
Semakan Malaysiakini pada petang ini mendapati kenyataan dan gambar berkenaan sudah dipadamkan.
Mohamad Zuhdi juga memberikan penjelasan mengenai isu itu dalam salah satu hantarannya pada hari ini.
"Saya nasihatkan yang tidak tahu apa-apa, ambillah al-Quran dan isikan masa anda dengan bacaan al-Quran," tulisnya.
Mohamad Zuhdi juga menjelaskan, "baru tadi" ada pihak kebajikan Pemuda PAS menghubunginya untuk menyampaikan sumbangan.
"Baru tadi pihak lajnah kebajikan pemuda hubungi saya nak serahkan sumbangan RM3,000.
"Saya sendiri tidak terima dan mohon diberikan kepada NGO yang banyak membantu masyarakat di luar sana yg sangat memerlukan," tulisnya.
Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin, mendoakan Mohamad Zuhdi agar segera sembuh dan diberikan kekuatan kepada keluarganya.
"Sekali lagi pesanan saya kepada rakan-rakan di luar, tolonglah duduk di rumah saja kecuali ada urusan penting dan kritikal.
"Jangan sebab kedegilan dan ketidakpedulian kita akan membawa risiko keluarga dan menambahkan lagi beban kepada seluruh pasukan barisan hadapan," katanya.