Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: PKP beri kesan kepada pusat jagaan orang tua
Diterbitkan:  Apr 8, 2020 11:07 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu turut memberi kesan kepada pusat penjagaan orang tua yang berdepan masalah kekurangan sumbangan.

Menurut laporan The Malaysian Insight (TMI), kebanyakan pusat jagaan ataupun rumah amal ini bergantung kepada aktiviti amal dan sumbangan orang ramai untuk meneruskan operasi.

Pengurus Yuan Old Folks’ Home Jacky Bah membayangkan situasi lebih sukar jika PKP dilanjutkan lagi.

“Sejak 18 Mac, tidak ada pengunjung dan sumbangan tiada. Biasanya kami hadir aktiviti amal untuk menerima sumbangan, tetapi semua program itu dibatalkan.

“Kos operasi bulanan pusat ini RM30,000. Seorang warga emas biasanya memerlukan lebih RM1,000, termasuk bayaran air, elektrik, lampin pakai buang dan makanan. Pusat ini sedang berdepan kesukaran untuk beroperasi,” katanya menurut laporan itu.

Jelasnya, pusat penjagaan itu tidak dapat membeli bahan makanan segar dan terpaksa menggunakan makanan dalam tin seperti daging, sardin dan bubur untuk diberikan kepada penghuni.

Bah berkata terdapat 35 warga emas di pusat yang terletak di Kuala Lumpur itu, dengan kebanyakannya kurang upaya dan menghadapi masalah kurang ingatan.

Kerajaan melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu bagi memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun PKP yang sepatutnya berakhir 31 Mac lalu, dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Jumaat ini, kerajaan akan memutuskan sama ada PKP akan berakhir 14 April ini atau dilanjutkan ke fasa seterusnya bergantung kepada perkembangan penularan Covid-19.

Sementara itu, Bah berkata wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia menyebabkan penderma yang baik hati turut mengalami masalah pendapatan.

Oleh itu katanya, pihaknya berasa tidak wajar untuk meminta sumbangan daripada mereka.

“Kami terpaksa menyelesaikan masalah keperluan di sini sendiri dan ia termasuk meminta pemilik premis ini kelonggaran dalam membayar sewa, selain bil utiliti yang mencecah RM7,000.

“Nasib baik, untuk makanan kering, masih banyak lagi kami simpan, hasil sumbangan yang diterima ketika sambutan Tahun Baru Cina lalu, jadi ia cukup untuk sebulan ini.

“Tetapi keadaan akan bertambah sukar jika PKP berterusan hingga Mei,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS